• 2025-09-23 05:22 PM

SEREMBAN: Pembangunan rumah ibadat perlu diperkukuh sebagai fokus utama untuk dijadikan destinasi pelancongan selaras dengan matlamat memperkasa pelancongan budaya.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing berkata kementerian mahu mempromosikan semua agama dan budaya kepada pelancong luar negara.

Beliau menyatakan usaha ini bukan sekadar memperkenalkan lokasi menarik tetapi juga memperlihatkan kekuatan negara dalam aspek perpaduan terutamanya bagi Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Lawatan saya ke tokong ini adalah satu langkah untuk menjadikan tempat ini sebagai destinasi pelancongan, agar pelancong dapat melihat sendiri keharmonian dan kepelbagaian unik Malaysia.

“Kita mahu buktikan kepada dunia bagaimana Malaysia mampu hidup bersatu secara harmoni walaupun berlatarbelakangkan pelbagai budaya dan agama,” katanya.

Tiong berkata promosi pelancongan budaya ini juga merupakan sebahagian daripada idea Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan warisan dan budaya tempatan tidak disia-siakan.

Beliau menjangkakan inisiatif ini dapat memperkasakan pelancongan berasaskan komuniti serta memberi manfaat ekonomi kepada kawasan setempat.

Tiong menerusi laman Facebooknya berkata lawatan ke negeri ini antara lain membincangkan aspek pembangunan dan pemerkasaan sektor pelancongan, seni dan budaya di Negeri Sembilan.

“Antaranya ialah penyelenggaraan fasiliti pelancongan seperti Muzium Tentera Darat dan Pusat Ikan Hiasan di Port Dickson,” katanya.

Beliau berkata turut dibincangkan acara dan festival berskala besar di negeri ini seperti NS Fest, Perpatih Fest, dan acara sukan rakyat Bola Ngoca.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan Nicole Tan berkata kerjasama erat dengan MOTAC sedang dirangka untuk memperkasa potensi pelancongan sedia ada.

“Mengikut sasaran kerajaan negeri, 60% pelancongan tertumpu kepada pantai, 30% ekopelancongan dan 10% warisan,” katanya.

Beliau berkata terdapat lebih 200 lokasi menarik di negeri ini berpotensi untuk diketengahkan, dan pihaknya akan menyusun takwim pelancongan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 bersama MOTAC.

Dalam perkembangan lain, Tiong turut mengulas cadangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan menukar nama Pantai Port Dickson disifatkan sebagai tidak perlu.

Tiong secara peribadi berpandangan nama Port Dickson tidak wajar ditukar, memandangkan selepas lebih enam dekad ia menjadi jenama pelancongan yang kukuh di negara ini. – Bernama