Rumah panjang Kampung Bunga Raya: Surat tawaran rumah baharu diserahkan esok

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan menyerahkan surat tawaran rumah baharu kepada 36 daripada 118 keluarga dari rumah panjang Kampung Bunga Raya, Subang dekat sini, esok.

Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan negeri V. Papparaidu berkata penyerahan surat tawaran rumah baharu di Alam Perdana, Puncak Alam itu juga adalah antara langkah yang diusahakan kerajaan negeri sejak 2008 bagi menyelesaikan isu penempatan penduduk di kawasan tersebut yang berlarutan lebih 30 tahun.

Beliau berkata surat tawaran itu dikeluarkan susulan permohonan 36 keluarga tersebut selepas perjumpaan yang diaturkan bersama penduduk 5 Januari lepas.

“Saya memohon ketua keluarga atau waris yang belum membuat permohonan untuk segera tampil bagi memudahkan urusan dan memuktamadkan penyerahan surat tawaran rumah baharu itu,” katanya pada sidang media di lobi Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Dalam hal itu, Papparaidu berharap isu itu tidak diputar belit oleh mana-mana pihak ketika kerajaan negeri berterusan mencari jalan memastikan kesemua keluarga termasuk mereka yang menetap lebih awal di kawasan itu mendapat kediaman yang selesa.

Terdahulu, media melaporkan Rumah Panjang Kampung Bunga Raya merupakan penempatan sementara kepada 118 keluarga yang dipindahkan pada 1993 susulan projek Perumahan Dahlia di Seksyen U5, Shah Alam.

Penduduk diminta berpindah ke penempatan sementara rumah panjang tersebut yang merupakan tanah milik kerajaan negeri dan dijanjikan penempatan baharu. - Bernama

Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan negeri V. Papparaidu. - fotoBERNAMA