• 2025-10-22 09:50 PM

PUTRAJAYA: Rundingan pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan dan Gabungan Rakyat Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 kini berada di peringkat akhir.

Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan rundingan antara PH dan Barisan Nasional pula telah selesai sepenuhnya.

Beliau menyatakan akan memuktamadkan rundingan PH-GRS dalam masa terdekat selepas mengadakan perbincangan di Kota Kinabalu minggu lepas.

Saifuddin Nasution menekankan bahawa rundingan biasanya tidak berakhir dengan hanya satu pusingan perbincangan.

Beliau berjanji akan mengumumkan keputusan muktamad sebaik rundingan dengan GRS selesai.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 November sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 15 November manakala pengundian awal pada 25 November.

Mengulas kemungkinan pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya nanti, Saifuddin Nasution menyifatkan andaian itu sebagai terlalu awal.

Beliau menegaskan bahawa adalah tidak sesuai untuk beliau membuat andaian mengenai perkara tersebut pada masa ini. – Bernama