KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2025 yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini bertujuan mengurangkan kesesakan di penjara, menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Berdasarkan statistik Jabatan Penjara Malaysia setakat 22 Julai, seramai 83,827 banduan berada di fasiliti penjara, manakala 5,759 lagi menjalani pemulihan dalam komuniti.
“Kapasiti sebenar fasiliti penjara hanya 76,311 banduan,“ jelas Shamsul Anuar semasa perbahasan RUU tersebut.
Kesesakan penjara boleh menyebabkan persekitaran tidak kondusif, meningkatkan risiko penyebaran penyakit, dan mengurangkan keberkesanan program pemulihan.
Selain itu, ia juga boleh mencetuskan rusuhan serta membebankan kewangan kerajaan.
RUU ini membenarkan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) diberikan kepada pesalah yang disabitkan dengan hukuman tidak melebihi 10 tahun, berbanding tiga tahun sebelum ini.
Sejak 2010, seramai 8,227 pesalah telah menjalani PKW dengan kadar kejayaan 94.5 peratus.
Hanya 5.25 peratus dikenakan batal perintah.
Modul PKW termasuk program intervensi, kerohanian, kaunseling, dan kursus berkaitan. – Bernama