KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah memperuntukkan RM136 juta untuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) pada tahun ini, iaitu peruntukan tertinggi setakat ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan komitmen kerajaan dalam memastikan akses pendidikan tinggi untuk semua, tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.
“Pelaburan ini adalah jangka panjang bagi membangunkan modal insan berkualiti dan berdaya saing. Kami tidak mahu anak Sabah tercicir hanya kerana masalah kewangan,“ katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, sempena majlis penyampaian bantuan SENTOSA di Universiti Malaysia Sabah.
Seramai 4,170 pelajar bakal menerima manfaat BKNS tahun ini, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya yang menjadikan pendidikan sebagai teras pembangunan.
Selain itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM77.5 juta untuk 13 inisiatif bantuan pendidikan lain, termasuk bantuan tunai pendaftaran IPT, komputer ihsan, dan tiket penerbangan pelajar.
Tabung Pendidikan Negeri Sabah yang dilancarkan pada Jun 2022 telah membantu 10,104 penerima dengan perbelanjaan RM15.8 juta setakat ini.
Manakala inisiatif SENTOSA bernilai RM6 juta pula menyasarkan 20,000 pelajar Bumiputera Sabah di IPT dalam negeri.
Dalam majlis tersebut, lebih 600 pelajar universiti awam dan swasta di Sabah menerima bantuan tunai RM300 secara sekali gus. - Bernama