• 2025-08-27 08:33 PM

KUALA LUMPUR: Saling bergantungan secara berdaulat mesti dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan dan saling menghormati supaya sesebuah negara kekal terbuka kepada dunia tanpa menjejaskan maruahnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa saling bergantung tidak dapat dielakkan dalam dunia yang saling berhubungan hari ini tetapi negara-negara kecil dan membangun mesti dibenarkan membuat keputusan sendiri mengenai rakan kongsi yang mereka pilih.

“Ini bukan seruan untuk menjauh daripada globalisasi,“ katanya dalam ucaptama khas pada Kuala Lumpur Roundtable On Asia-Pacific Regional Cooperation anjuran Boao Forum for Asia.

Beliau menekankan bahawa saling bergantung secara berdaulat mengekalkan keterbukaan sambil melindungi maruah serta menolak kebergantungan atau pemisahan yang dipaksakan.

Anwar menyatakan malangnya kebergantungan kini telah digunakan sebagai senjata oleh ekonomi terbesar dunia bukannya sebagai alat memudahkan kerjasama.

“Saluran tenaga, laluan perkapalan dan rantaian bekalan semikonduktor telah menjadi instrumen pengaruh tidak adil,“ katanya.

Beliau menegaskan bahawa pengejaran perdagangan tanpa had yang menimbulkan gangguan ekonomi daripada tarif hari pembebasan hingga sekatan eksport turut memberi implikasi besar kepada keselamatan dan geopolitik.

“Namun sejarah menunjukkan apabila negara bersaing membina tembok, kemakmuran merosot dan ketidakstabilan merebak,“ katanya.

Anwar berkata sistem perdagangan global kini menghadapi tekanan dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia yang pernah menjadi penjaga peraturan kini hampir lumpuh.

Beliau menegaskan bahawa ekonomi terbesar dunia kini bukan lagi penjaga sistem tetapi pengganggu sistem itu sendiri.

“Tarif berubah-ubah dengan mendadak,“ katanya mengenai keadaan semasa perdagangan global.

Perbincangan meja bulat ini adalah sebahagian daripada siri dialog serantau eksklusif Boao Forum for Asia menekankan kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan komitmennya dalam memupuk kerjasama serantau.

Perbincangan ini menumpukan pada pengukuhan multilateralisme dan regionalisme terbuka serta meningkatkan keterhubungan inklusif dan rantaian bekalan yang tahan lasak. – Bernama