JOHOR BAHRU: Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Kebangsaan 2024yang bermula hari ini hingga 26 Mei, merupakan platform terbaik untuk menonjolkan perpaduan serta kesejahteraan hidup masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor K. Raven Kumar berkata pemilihan Johor Bahru sebagai lokasi sambutan peringkat kebangsaan tepat memandangkan daerah itu merupakan tumpuan pelancong antarabangsa khususnya dari Singapura dan Indonesia.

“Lokasi program di Padang Akasia dan Begonia di pusat beli-belah Angsana Johor Bahru Mall itu merupakan antara destinasi utama tumpuan pelancong dari kedua-dua negara jiran berkenaan untuk membeli- belah.

“Jadi kita yakin sasaran lebih 50,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa dapat dicapai sepanjang tempoh empat hari program,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Johor Bahru merupakan bandar raya yang unik kerana ia bukan sahaja didiami masyarakat Melayu, Cina dan India tetapi ia juga mempunyai sejumlah besar masyarakat Borneo dari Sabah dan Sarawak yang telah menetap di sini.

“Oleh itu, pengunjung akan dapat gambaran penuh kemajmukan rakyat Malaysia dan pastinya mereka teruja dengan pengalaman baharu ini. Itu kelebihan Johor,” katanya.

Raven Kumar berkata program berkenaan turut meletakkan Johor, khususnya bandar raya ini, sebagai destinasi tumpuan pelancong domestik dan antarabangsa selari dengan penganjuran Tahun Melawat Johor 2026.

Selain pengunjung dari Singapura dan Indonesia, beliau berkata bandar raya ini juga menjadi antara destinasi pilihan pelancong dari China, Filipina, India, Korea Selatan, negara Eropah dan juga Timur Tengah.

“Program berskala besar yang bakal dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 malam, 25 Mei ini, sudah pasti akan membantu Johor mencapai sasaran kehadiran pelancong melebihi 20 juta orang tahun ini,” katanya.

Raven Kumar berkata program anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) itu bertujuan memperkukuhkan perpaduan rakyat berteraskan tiga prinsip iaitu ‘faham, hormat dan terima’ perbezaan budaya, adat dan kepercayaan setiap kaum di Malaysia.

Katanya, ini selari dengan tema sambutan iaitu ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian’ sekali gus mendidik masyarakat mendalami dan menghayati nilai perpaduan yang telah dikecapi sejak negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan sambutan bermula 9 pagi hingga 10 malam dan masuk adalah percuma.

Maklumat lanjut boleh didapati di portal KPN https://www.perpaduan.gov.my/ atau laman Facebook, X dan TikTok KPN.

SMP yang disambut setiap tahun merupakan inisiatif KPN untuk memupuk semangat perpaduan dalam jiwa masyarakat Malaysia.

Bagi menyebarluaskan dan menyemarakkan lagi promosi SMP tahun ini, KPN turut mengambil langkah untuk menganjurkan siri Jelajah Kembara Perpaduan di enam negeri bermula dengan Sabah (20 April), Sarawak (21 April), Labuan (27 April), Terengganu (2-4 Mei), Pulau Pinang (11-12 Mei) dan Negeri Sembilan (17-19 Mei).

Jelajah Kembara Perpaduan merupakan pergerakan simbolik bermula dari Sabah menuju ke enam negeri melalui perjalanan kapsul bagi mengumpulkan hasrat dan harapan rakyat Malaysia terhadap kepimpinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan.

Hasil tersebut akan dipersembahkan dan diserahkan ketika Majlis Perasmian SMP 2024 Peringkat Kebangsaan.