IPOH: Suatu pusat perlindungan gajah atau ‘Santuari Gajah Perak’ yang bakal dibuka di Gerik dijangka dapat mengurangkan konflik antara mamalia tersebut dengan manusia di negeri ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak Yusof Shariff berkata hanya gajah yang bermasalah atau menimbulkan konflik sahaja akan dipindahkan ke tempat perlindungan itu.

“Gajah yang menimbulkan konflik sahaja (akan dipindahkan) sebab ada gajah yang tidak timbulkan konflik, ada gajah yang mungkin cedera kena langgar, sakit dan sebagainya, jadi kita pindahkan ke situ,“ katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Semalam, media melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Teh Kok Lim berkata lokasi tempat perlindungan haiwan itu telah dikenal pasti.

Menurutnya kerajaan negeri kini dalam peringkat pindah milik tanah kawasan berkenaan kepada kerajaan Persekutuan dan sejurus selesai urusan itu, proses pembinaan tempat tersebut akan dilaksanakan dengan kadar segera.

Bernama melaporkan pada 18 Julai 2020, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli mengumumkan Pembangunan Pusat Santuari Gajah Perak (PES) di Batu 11, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik.

Sebelum ini dilaporkan 13 kes kematian akibat serangan gajah liar direkodkan antara 2019 hingga 2023 dengan nilai kerugian ekoran konflik manusia dan gajah dianggarkan berjumlah RM40.21 juta bagi tempoh sama.