KUCHING: Sarawak akan berunding dengan Peguam Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh bagi menetapkan istilah terbaik untuk menggantikan perkataan ‘negeri’ dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak, berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata mengambil kira kedudukan Malaysia sebagai anggota Komanwel, istilah berkenaan juga perlu bertepatan dengan perundangan yang diamalkan di negara pertubuhan itu.

“Kita juga mahu dapatkan maklum balas daripada orang ramai bagaimana trend istilah yang perlu dipakai jadi kita akan sesuaikan mengikut undang-undang terutamanya di negara Komanwel.

“Di negara Komanwel ada menggunakan ‘provincial legislature’, contohnya di Kanada (anggota Komanwel) sebut ‘provincial parliament’ juga... Kita (Sarawak) tak dapat pakai term ‘wilayah’ kalau tidak, kita macam Wilayah Persekutuan,” katanya.

Abang Johari berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediaman Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri di sini, hari ini.

Beliau berkata jawatankuasa negeri diwakili Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali akan mengadakan perbincangan bersama Ahmad Terrirudin bagi hal berkenaan.

Semalam Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata cabang eksekutif Sarawak harus memutuskan sama ada mengeluarkan perkataan ‘negeri’ daripada DUN Sarawak.

Beliau berkata secara peribadi beliau percaya selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang mengiktiraf Sarawak sebagai sebuah wilayah dan bukan satu daripada 13 negeri, maka perkataan itu harus digugurkan.