• 2025-07-10 02:37 PM

KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang mewujudkan platform pensijilan hidrogen sendiri yang mematuhi piawaian global bagi memastikan ketelusan dan kebolehkesanan dalam industri tenaga hijau.

Langkah ini bertujuan memperkukuh keyakinan pelabur serta integriti pasaran hidrogen di peringkat serantau dan antarabangsa.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif ini selari dengan Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak (SHER) yang dilancarkan bagi menjadikan negeri itu pengeluar hidrogen berdaya saing.

“Kami sedang melabur dalam teknologi dan inovasi kerana penambahbaikan berterusan penting untuk kekal kompetitif dalam sektor tenaga yang pesat berubah,“ katanya semasa berucap di Persidangan Hidrogen Asia Dunia 2025 di Tokyo.

Beliau menekankan perlunya kerjasama serantau dengan cadangan platform pensijilan bersama di peringkat ASEAN.

“Piawaian ini mesti selaras dengan penanda aras global kerana ia boleh menjadi pemangkin kepada pasaran karbon sukarela pada masa depan.”

Selain pensijilan, Sarawak turut memfokuskan pembangunan infrastruktur, tadbir urus, dan tenaga kerja bagi menyokong industri hidrogen berskala besar.

Lawatan kerja Abang Johari ke Tokyo bertujuan memperkukuh jaringan strategik dalam sektor tenaga boleh diperbaharui. - Bernama