• 2025-07-07 08:25 PM

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 yang menambah 17 kerusi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 99 kerusi.

RUU ini dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan diluluskan secara sebulat suara selepas dibahas oleh 31 Ahli Dewan.

“Ini adalah peningkatan terbesar yang pernah kami lakukan, mungkin yang terbesar di antara semua negeri di Malaysia.

Mungkin mengambil masa 10 tahun atau lebih sebelum kita melihat peningkatan berikutnya,“ katanya dalam ucapan penggulungan persidangan khas DUN.

Abdul Karim berkata komposisi baharu 99 kerusi dijangka dilaksanakan dalam pilihan raya negeri akan datang.

Beliau menegaskan bahawa pertambahan kerusi ini penting sebagai persediaan untuk sebarang peningkatan perwakilan di peringkat Persekutuan pada masa depan.

“Diharapkan langkah ini akan dapat dilihat dalam peningkatan bilangan kerusi Parlimen seterusnya menyokong permintaan kami agar satu pertiga kerusi di Dewan Rakyat diwakili Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak,“ jelasnya.

Sebelum ini, beliau menyatakan bahawa peningkatan kerusi diperlukan bagi menyesuaikan dengan perubahan demografi Sarawak, pertumbuhan bandar, dan keperluan perwakilan yang lebih adil, terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Komposisi semasa sebanyak 82 kerusi, seperti yang ditetapkan di bawah Ordinan DUN (Komposisi Keanggotaan) 2014, akan dimansuhkan dan digantikan dengan RUU baharu ini.

Bilangan kerusi DUN Sarawak telah meningkat secara berkala sejak 1969, daripada 48 kerusi kepada 56 (1985), 62 (1995), 71 (2005), dan 82 (2014).

RUU ini selaras dengan Perkara 113(2)(ii) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan semakan sempadan pilihan raya dilakukan sekurang-kurangnya setiap lapan tahun.

Kali terakhir persempadanan semula di Sarawak dilakukan pada 2015. - Bernama