KUCHING: Sarawak menyatakan semula kedudukannya sebagai peneraju tenaga bersih di Asia Tenggara, dengan berkongsi visi negeri mengenai rancangan tenaganya pada Persidangan Eksport Tenaga (EEC) 2025 di Aberdeen, United Kingdom (UK).

Ketika menyampaikan ucaptama, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata kekukuhan komitmen dasar, pelaburan inovasi yang mampan dan kerjasama serantau yang erat sebagai asas negeri untuk peralihan tenaga.

“Sarawak bangga menjadi perintis di ASEAN dalam pembangunan tenaga bersih. Penyertaan di EEC 2025 mencerminkan kesediaan kami untuk menjalinkan kerjasama global baharu dan mengeksport penyelesaian tenaga rendah karbon kepada dunia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak malam tadi.

Beliau berkata strategi bersepadu Sarawak melibatkan empat hab strategik -- tenaga boleh baharu, gas asli, pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) serta hidrogen -- masing-masing dirangka untuk menggalakkan daya tahan dan pertumbuhan mampan negeri.

“Berdasarkan lebih 70 peratus tenaga elektrik kini telah dijana oleh kuasa hidro, Sarawak berada di landasan untuk mengembangkan lagi kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2030 dan 2035,” katanya.

Beliau berkata Sarawak mengukuhkan peranannya sebagai “Bateri ASEAN” dengan giat melaksanakan eksport tenaga serantau ke Kalimantan Barat, Brunei, Sabah dan tidak lama lagi, Singapura.

Tambahan pula, Sarawak menerajui Malaysia dari segi rizab gas asli dan potensi CCS di samping merintis pembangunan hidrogen dengan projek utama dan berlandaskan perundangan khusus untuk menarik pelabur global, katanya.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datuk Seri Dr Muhammad Abdullah Zaidel berkata platform global seperti EEC berperanan penting dalam mewujudkan ekosistem tenaga yang berdaya tahan.

“Kehadiran kami di Aberdeen adalah satu kenyataan hasrat. Sarawak terbuka untuk perniagaan, terbuka untuk inovasi, dan bersedia untuk menerajui eksport tenaga bersih,” katanya.

Pada persidangan itu, Sarawak Energy Bhd berkongsi agenda kemampanan jangka masa panjang dan pelan penyepaduan grid rentas sempadan.

Anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak, SEDC Energy, mengetengahkan kerjasama berterusan dengan rakan kongsi Jepun dan Korea Selatan untuk membangunkan keupayaan eksport ammonia dan hidrogen.

“Semua inisiatif ini menunjukkkan komitmen Sarawak terhadap inovasi dan perkongsian antarabangsa. Inisiatif tenaga bersih Sarawak, disokong oleh dasar komprehensif dan pelan hala tuju strategik, membuka peluang pelaburan baharu dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi untuk masa depan yang mampan.

“Berdasarkan pengiktirafan antarabangsa daripada Forum Ekonomi Dunia dan acara akan datang seperti Minggu Tenaga Antarabangsa 2025 dan Forum Tenaga Mampan & Boleh Baharu (SAREF) 4.0, Sarawak aktif menjemput rakan global untuk menyertai usahanya ke arah masa depan tenaga yang mampan dan inklusif,” tambah kenyataan itu.