• 2025-10-15 03:36 PM

KUALA LUMPUR: Sarawak perlu bersama-sama kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi menjalankan libat urus secara antara kerajaan untuk meyakinkan Kesatuan Eropah bahawa tanah Hak Adat Bumiputera adalah hak milik yang sah.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata langkah itu penting memandangkan isu NCR perlu ditangani secara diplomatik.

Beliau menjelaskan isu NCR berkait rapat dengan prinsip di bawah Peraturan Penyahhutanan EU yang memastikan tanah yang digunakan mempunyai hak milik yang sah.

Masalahnya kebanyakan NCR tidak mempunyai dokumen seperti geran atau sistem tanah rasmi.

Keadaan ini menyukarkan pematuhan terhadap EUDR yang menuntut bukti pemilikan yang sah bagi perladangan.

Chan berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Begri yang membangkitkan kebimbangan berkenaan kesan pelaksanaan EUDR terhadap usaha membangunkan tanah NCR untuk aktiviti ekonomi luar bandar. – Bernama