KUCHING: Sarawak selaku penganjur bersama bagi Sukan SEA 2027 merancang mengadakan lawatan penanda aras ke Thailand, iaitu tuan ruman sukan itu tahun ini, bagi mempelajari operasi langsung semasa penganjuran sukan utama itu.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata lawatan itu penting, untuk memastikan penyampaian bertaraf dunia semasa negeri menjadi tuan rumah bagi pelbagai acara sukan, pada penganjuran temasya dwitahunan tersebut.
“Pengetahuan diperoleh (menerusi lawatan itu) akan membantu kami memperhalusi strategi untuk 2027. Pada akhirnya, Sukan SEA bukan hanya memberi inspirasi kepada atlet masa depan, tetapi juga meletakkan Malaysia sebagai hab utama sukan antarabangsa di Asia Tenggara, menandakan langkah berani Sarawak ke pentas dunia” katanya.
Abdul Karim berkata demikian pada sesi penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Sukan Asia Tenggara edisi ke-33 itu dijadualkan berlangsung di Thailand dari 9 hingga 20 Dis tahun ini.
Pada 28 Mac, Abdul Karim berkata Sarawak selaku tuan rumah bersama, dijangka menganjurkan 18 acara sukan pada Sukan SEA 2027 antaranya tenpin boling, renang, terjun, kriket, taekwondo, memanah dan menembak.
Abdul Karim berkata kementeriannya menyelia 87 fasiliti sukan di seluruh Sarawak, dengan 25 projek baharu sedang dibangunkan di bawah inisiatif seperti Projek Rakyat serta Program dan Projek Agensi Pembangunan (DAPP).
“Fasiliti ini dirancang untuk dinaik taraf atau pemodenan, bagi memenuhi standard kebangsaan dan antarabangsa, memenuhi keperluan bagi penganjuran kejohanan antarabangsa, meningkatkan daya saing dan menambah daya tarikan kepada golongan muda masa kini,” katanya.
Sementara itu, Abdul Karim berkata Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) sedang memperhalusi strategi pembangunannya dengan memfokus kepada 14 sukan berpotensi tinggi dengan peluang besar meraih pingat, dalam usaha mengukuhkan daya saing negeri dalam bidang sukan.
Sukan terlibat antaranya golf, taekwondo, tenpin boling, akuatik (renang dan terjun), tinju, Muay Thai, olahraga, memanah, silat, skuasy, bola tampar, gimnastik artistik, wushu dan boling padang.
“Pendekatan bersasar ini mencerminkan penstrukturan strategik program pembangunan sukan negeri, bertujuan meningkatkan disiplin utama ini ke tahap kecemerlangan dan prestasi baharu,” katanya.