KUALA LUMPUR: Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi pelancongan utama mesra Muslim apabila sekali lagi dinobatkan sebagai Destinasi Mesra Muslim Terbaik dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2025, menandakan penguasaan selama sedekad sejak pengenalan indeks berkenaan pada 2015.
Pengiktirafan berprestij itu diumumkan pada Anugerah Halal dalam Pelancongan kali keempat yang berlangsung di Singapura dan disampaikan kepada Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Khairul Firdaus Akbar Khan, yang mewakili negara.
Dalam ucapan penerimaannya, Khairul Firdaus menyifatkan kejayaan itu sebagai satu pencapaian membanggakan, hasil komitmen berterusan semua pihak dalam memperkukuh Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong Muslim global.
“Anugerah ini adalah cerminan kepada usaha bersepadu pemain industri, agensi kerajaan dan komuniti tempatan dalam memperjuangkan prinsip keterangkuman, kemudahan akses serta kecemerlangan hospitaliti,” katanya.
GMTI yang dibangunkan oleh CrescentRating, dengan kerjasama Mastercard, menilai keupayaan sesebuah destinasi dalam memenuhi keperluan pelancong Muslim berdasarkan pelbagai penunjuk, termasuk infrastruktur, perkhidmatan dan kemudahan mesra Muslim.
Malaysia kekal menduduki tempat teratas sejak indeks itu diperkenalkan, membuktikan konsistensi dan iltizam negara dalam mengekalkan standard tinggi pelancongan Islamik.
Khairul Firdaus turut merakamkan penghargaan kepada Pusat Pelancongan Islam (ITC) yang memainkan peranan penting dalam merintis pelbagai inisiatif seperti Program Jaminan dan Pengiktirafan Pelancongan serta Hospitaliti Mesra Muslim (MFAR), selain Pensijilan Pemandu Pelancong Mesra Muslim (MFTG).
“Peranan ITC sebagai peneraju utama dalam memacu hala tuju pelancongan Islam negara wajar diberikan pengiktirafan sewajarnya,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada CrescentRating dan Mastercard atas usaha berterusan dalam memperkasakan pelancongan halal menerusi platform seperti Sidang Kemuncak Global Halal dalam Pelancongan.
Katanya, pengiktirafan seperti ini bukan sekadar melonjak imej negara, malah memberi impak kepada arah aliran industri pelancongan dunia yang semakin didorong oleh kehendak pengguna Muslim.
Dalam pada itu, beliau turut menjemput pelancong antarabangsa mengunjungi Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 yang bakal menawarkan pengalaman pelancongan pelbagai budaya yang unik dan memukau.