DALAM semangat meraikan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-65, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah menerbitkan klip video berdurasi tiga minit bertajuk ‘Tanah Ini Milik Kita ’atau ‘The Land is Ours’ yang memaparkan kisah pengorbanan keluarga pekebun kecil memanfaatkan tanah mereka dengan menanam kelapa sawit.
Penerbitan video ini tepat pada masanya untuk menunjukkan kepada dunia - bagi membuka mata negara-negara yang mengenakan sekatan ke atas minyak sawit - bahawa Malaysia mempunyai lebih 461,303 pekebun kecil dan tambahan 1.8 juta individu lagi yang kehidupan mereka bergantung sepenuhnya daripada rezeki yang dijana daripada hasil sawit.
Video ini juga bertujuan untuk menutup ruang jentera propaganda Barat, khususnya yang melemparkan dakwaan bahawa sektor perladangan sawit di negara kita dilakukan dengan memusnahkan banyak kawasan hutan dalam negara. Melalui hasil karya ini, kita menyaksikan kisah tiga sekeluarga, bagaimana si ayah, ibu dan anak perempuan mereka diberi kelulusan oleh pihak berkuasa tanah untuk mengusahakan tanaman kelapa sawit melalui prosedur yang betul, bukannya secara penerokaan haram seperti yang kerap dimomok-momokkan melalui kempen anti-sawit.
Jalan cerita yang dipaparkan dalam video ini mengukuhkan justifikasi bahawa setiap pekebun di dunia ini mempunyai hak untuk bertani, mengusahakan tanaman apa pun demi kelangsungan hidup - satu jaminan di bawah Deklarasi Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Hak Asasi Petani dan Rakyat Yang Bekerja di Luar Bandar atau ‘United Nations Declaration on the Rights of Peasants and Other People Working in Rural Areas (UNDROP).
Diterbitkan oleh gerakan global untuk memperjuangkan kebaikan minyak sawit, iaitu satu inisiatif di bawah KPPK, klip video ini juga selaras dengan usaha Kementerian dalam menegakkan deklarasi PBB itu dan seterusnya mempertahankan hak setiap pemilik tanah untuk bertani demi meneruskan kehidupan.
Tambahan pula, sekatan ke atas minyak sawit bukan sahaja melanggar deklarasi PBB, tetapi juga menutup punca rezeki keluarga pekebun kecil. Jika kita imbas kembali, Kerajaan Malaysia pada tahun 2019 telah mengehadkan pengembangan kawasan penanaman kelapa sawit tidak boleh melebihi 6.5 juta hektar. Pada tahun 2022, Malaysia telah membangunkan seluas 5.8 juta hektar kawasan penanaman kelapa sawit - sama ada oleh pekebun kecil atau syarikat perladangan besar - dengan baki 700,000 hektar lagi yang belum lagi diterokai bagi penanaman sawit.
Walaupun sektor perladangan sering dianggap sebagai punca utama kemusnahan hutan, perlu ditekankan bahawa pada tahun 2019, sebanyak 24 peratus daripada keluasan tanah digunakan oleh sektor penternakan, manakala perladangan pula hanya sebanyak 29 peratus. Daripada penebangan pokok untuk laluan kepada 29 peratus keluasan ladang itu pula, perlu ditegaskan bahawa tanaman yang paling banyak menyumbang kepada pemusnahan hutan adalah kacang soya iaitu dengan sebanyak 19 peratus keluasan, diikuti jagung dengan 11 peratus, manakala kelapa sawit hanya lapan peratus, sawah padi dengan enam peratus dan tebu sebanyak lima peratus.
Demi kepentingan industri minyak sawit kita, Malaysia berusaha menjalin hubungan dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat bagi mewujudkan situasi menang-menang yang akan memberi manfaat kepada industri minyak sawit secara keseluruhan, walaupun kedua-dua blok perdagangan berkenaan yang juga kuasa ekonomi dunia, kekal menentang kuat perdagangan minyak sawit sejak tahun 2003 lagi. Dengan EU khususnya, usaha sedang digerakkan ketika ini melalui pelbagai platform, contohnya menerusi Kumpulan Kerja Bersepadu ASEAN-EU,program- program seminar atau webinar dan siri dialog serta perbincangan melalui misi-misi promosi ekonomi dan minyak sawit yang dijalankan.
Bersama-sama dengan usaha-usaha yang disebut tadi, terdapat dua inisiatif lagi yang turut digerakkan, iaitu program-program kerjasama Malaysia-EU yang bermatlamat meningkatkan kelestarian perdagangan minyak sawit, selain kerjasama
di bawah Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOC). Di bawah kerjasama Malaysia-EU, dua program utama adalah Projek Kelestarian Minyak Sawit Malaysia dan Indonesia atau KAMI serta yang kedua, Inisiatif Kebangsaan Pekebun Kecil Kelapa Sawit Mampan dan Pintar Iklim atau NI-SCOPS dengan Belanda.
Kementerian bertekad untuk terus berjuang melawan kempen anti-sawit demi memastikan nasib pekebun kecil akan terus terbela dan punca rezeki mereka tidak akan disekat oleh propaganda anti-minyak sawit oleh sesetengah blok barat. Kementerian akan terus mendidik masyarakat berhubung salah faham mengenai minyak sawit menerusi “Gerakan Global Untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit”. Saya juga ingin menyeru semua rakyat Malaysia untuk bangkit berjuang bersama kami mempertahankan komoditi utama negara kita ini dengan semangat “Keluarga Malaysia Teguh Bersama.”
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
30 OGOS 2022