BANTING: Sime Darby Plantation Berhad (SDP) menyasarkan penggunaan 100 peratus tenaga kerja tempatan di ladang kelapa sawit mereka kecuali melibatkan pekerja mengait buah, menjelang 2027.

Ketua Pegawai Sumber Manusia SDP Zulkifli Zainal Abidin berkata dasar tersebut dilaksanakan menerusi Projek Lokal bermula sejak 2019 yang mengadaptasikan sektor perladangan tersebut dengan penggunaan teknologi jentera.

Zulkifli berkata antara contoh jentera yang digunakan dalam pengurusan ladang bagi menggantikan keperluan menggunakan buruh asing secara berperingkat ialah teknologi dron dan jentera kawalan jauh untuk pembajaan serta pengawalan serangga dan haiwan perosak.

“Kita mengambil satu hasrat bahawa pada 2027, kita akan memenuhi pekerja di ladang dengan pekerja tempatan kecuali kerja melibatkan penuaian ataupun mengait buah (kelapa sawit).

“Pekerja tempatan (kurang berminat untuk berkerja) sebab yang (itu bahagian) paling sukar terutama melibatkan pokok yang terlalu tinggi,” katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin di SD Plantation Future Fest ‘24, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi SDP Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani.

Zulkifli berkata menerusi projek tersebut pihaknya turut menyasarkan seorang pekerja akan menjaga seluas 17.5 hektar ladang kelapa sawit pada 2027 berbanding 8 hektar ketika ini.

Selain itu, beliau berkata pihaknya menyasarkan lebih 700 pekerja tempatan mahir di semua ladang milik SDP seluruh negara pada tempoh sama.

“Kita turut memfokuskan kepada penciptaan prototaip terutama untuk mesin menuai kelapa sawit. Ini berikutan kerja mengait buah ini terutama pokok yang tinggi adalah paling sukar dalam peladangan kelapa sawit,” katanya.

SD Plantation Future Fest ‘24 yang berlangsung selama dua hari, bermula hari ini merupakan acara julung kali dianjurkan SDP bertujuan mempamerkan perkembangan terkini inisiatif syarikat tersebut dalam mentransformasikan kerja-kerja perladangan sawit menjadi lebih moden dan canggih melalui mekanisasi, automasi serta digitalisasi.

Dua memorandum perjanjian (MoA) turut ditandatangani melibatkan SDP dan Universiti Malaya bagi projek Fasa Dua Pembangunan Alat Pemotong Laser iaitu satu teknologi yang sedang diuji untuk diguna pakai bagi kerja-kerja penuaian tandan buah sawit.

Perjanjian kerjasama yang kedua adalah antara SDP dengan Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) bagi program pembangunan pakar jentera yang merupakan satu bidang kerja baharu diwujudkan SDP, selaras dengan penggunaan mesin baharu dan canggih yang kini diguna pakai di ladang mereka. - Bernama