SIBU: Seorang warga China yang mengaku memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Pengarah Mahkamah Negeri Sabah Marutin Pagan dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Rosli Ahmad, yang ditugaskan untuk mendengar kes itu, memerintahkan Sun Xue Song, 42, menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap iaitu 30 Mac lepas.

Sun didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda RM50,000.

Dalam penghakimannya, Rosli berkata mahkamah mengambil kira pengakuan salah Sun, fakta kes, rayuan dan kepentingan awam.

“Saya menerima pengakuan bersalah tertuduh dan mensabitkan beliau dengan kesalahan seperti didakwa. Selepas menimbangkan semua keadaan, saya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dari tarikh tangkap dan denda RM20,000 atau penjara tiga bulan,” katanya.

Mahkamah turut memerintahkan agar lesen memandu Sun digantung selama lima tahun bermula dari tarikh dia didakwa iaitu pada 7 April lepas dan pasport warga China itu dikembalikan kepadanya menerusi pihak pendakwaan selepas selesai menjalani hukuman.

Ketiga memohon hukuman ringan, peguam Terence Tiong Ing Jie berkata Sun, yang memiliki ijazah dalam bidang kejuruteraan, telah datang ke Malaysia secara sah untuk bekerja bagi menyara ibunya yang berusia 70 tahun dan seorang anak lelaki berumur tujuh tahun.

Beliau berkata tertuduh tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa selain menyerah diri secara sukarela selepas kemalangan itu selain melahirkan kekesalan yang mendalam terhadap kematian mangsa.

“Tertuduh telah memberikan sumbangan sebanyak RM70,000 kepada isteri si mati atas dasar belas kasihan dan bukan untuk mendapatkan pengampunan,” kata peguam itu.

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa nahas itu berlaku di Jalan Kanowit-Durin yang terkenal sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan.

Menurut fakta kes, ketika kejadian Sun memandu kereta Proton X70 di Jalan Kanowit-Durin menuju bulatan Kanowit.

Pada masa sama, Toyota Fortuner yang dipandu oleh Margaretha Jeramy Marutin, dengan empat penumpang termasuk mangsa, sedang melalui bulatan itu.

Sun gagal menghentikan keretanya untuk memberi laluan di lokasi yang ditetapkan dan memasuki bulatan itu secara berbahaya sehingga menyebabkan kedua-dua kenderaan berlanggar serta mengakibatkan Toyota Fortuner terbalik.

Marutin telah mengalami kecederaan parah serta disahkan meninggal dunia di Hospital Kanowit

Sebelum ini, Sun mengaku tidak bersalah namun menukar pengakuannya pada prosiding pengurusan kes di hadapan Majistret Romario Jonoi pada 16 Mei lepas.

Majistret Oon Kork Chern, yang pada asalnya mendengar kes itu, telah menarik diri atas alasan mengenali si mati dan prosiding tersebut kemudiannya diserahkan kepada Rosli.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Cynthia Emmelda Jerry.