Your Title

PUTRAJAYA: Rangkaian 5G mempunyai keupayaan menyediakan sebahagian daripada rangkaian jalur lebarnya secara khusus bagi membolehkan komunikasi tersulit diwujudkan untuk manfaat organisasi terutamanya agensi penguatkuasaan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata akses kepada jalur lebar yang selamat dan boleh dipercayai bebas daripada rangkaian awam, boleh memberi manfaat besar kepada mana-mana organisasi, terutamanya agensi penguatkuasaan undang-undang, yang mempunyai keperluan kritikal untuk keselamatan data dan kestabilan rangkaian.

Justeru, beliau mencadangkan supaya agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) memanfaatkan ciri pembahagian jalur rangkaian selamat itu, yang merupakan sebahagian daripada kemajuan yang sedang dibincangkan di peringkat global.

“Ini adalah ciri 5G. Apabila anda melihat kepada spektrum ini, kami menyediakan pembahagian jalur rangkaian selamat khusus dalam spektrum untuk rangkaian 5G peribadi, terutamanya rangkaian 5G peribadi tempatan. Ini perkara yang kami sebagai sebuah industri, sedang membincangkannya,” katanya.

Fahmi berkata demikian kepada media selepas menjadi ahli panel forum yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak Keselamatan Antarabangsa Asia dan Ekspo 2025, di sini hari ini.

Beliau memaklumkan bahawa permintaan untuk jalur lebar 5G khusus datang daripada industri itu sendiri dan ia sebahagian daripada usaha berterusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam pelancaran pendekatan dwi-rangkaian 5G.

“Dengan membolehkan pendekatan dwi-rangkaian dan beberapa langkah yang akan diambil oleh SKMM, membolehkan pembahagian jalur rangkaian yang selamat untuk agensi seperti PDRM boleh direalisasikan,” katanya.

Fahmi berkata jika langkah ini membuahkan hasil, sebahagian jalur rangkaian yang selamat akan didedikasikan untuk memastikan lebar jalur tidak terganggu untuk operasi sensitif.

“Sebahagian jalur rangkaian 5G yang selamat bermakna lebar jalur dikhususkan untuk organisasi itu. Ia tidak semestinya hanya untuk penguatkuasaan undang-undang, ia boleh untuk mana-mana industri, mana-mana syarikat,” katanya.

Syarikat di seluruh dunia telah mula menggunakan pembahagian jalur rangkaian 5G khusus, terutamanya untuk aplikasi Internet Benda (IoT) yang memerlukan data masa nyata daripada pelbagai sensor merentas kemudahan.