KUALA KRAI: Projek ternakan ikan keli yang diusahakan oleh Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Kuala Pertang kini mula meraih sambutan tinggi dalam pasaran, membuktikan potensi komuniti luar bandar dalam menjana ekonomi baharu pada peringkat akar umbi.

Dilaksanakan di bawah inisiatif Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI), projek akuakultur itu bukan sahaja menyediakan sumber pendapatan sampingan kepada penduduk, tetapi juga berpotensi menjadi asas kepada pembangunan perusahaan mikro desa yang lebih tersusun pada masa hadapan.

Pengerusi JPKKP Kampung Kuala Pertang Adnan Mat Yassin berkata projek yang bermula pada pertengahan Januari lepas dengan suntikan dana sebanyak RM100,000 itu telah mula dituai sejak 1 Mei lepas.

“Projek ini kita mulakan dengan melepaskan 39,000 benih ikan keli di dalam lapan kolam kanvas. Kami mula menjual hasil tuaian pertama pada 1 Mei dan dalam tempoh dua minggu, jualan mencecah 35 kilogram, menjana pendapatan hampir RM1,000.

“Permintaan pula semakin meningkat bukan sahaja daripada penduduk tempatan, tetapi juga daripada peniaga kantin sekolah dan restoran di sekitar Kuala Krai dan kami memang tidak menang tangan,“ katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Kuala Pertang di sini baru-baru ini.

Adnan berkata ikan keli itu dijual pada harga jualan RM8 sekilogram manakala ikan yang telah disiang dijual dengan harga RM9 sekilogram.

Mengakui pihaknya belum menetapkan unjuran keuntungan menyeluruh kerana tuaian pertama sedang berjalan, Adnan yakin projek itu berpotensi berkembang dan dilihat sebagai titik mula kepada ekonomi baharu desa.

“Fokus kami sekarang ialah memastikan hasil tuaian pertama ini berjalan lancar dan dari situ kita akan nilai keupayaan sebenar projek untuk dikembangkan menjadi perusahaan kecil berstruktur,” katanya yang optimis dengan potensi projek itu dalam meningkatkan kemahiran dan ekonomi peserta.

Beliau yang dibantu oleh 12 ahli jawatankuasa lain turut merancang untuk menggunakan sebahagian hasil jualan sebagai modal untuk menambahkan jumlah kolam atau memulakan pusingan ternakan kedua pada Julai ini.

Ketua Pemantauan Ternakan Ikan Air Tawar Kampung Kuala Pertang Baharum Mat Daud berkata sebanyak 11 kolam kanvas digunakan dalam projek itu, iaitu lapan untuk ternakan utama dan tiga lagi sebagai kolam pengasingan ikan mengikut saiz dan berat.

“Setiap hari, kira-kira 11 kilogram makanan palet digunakan bagi mengekalkan pertumbuhan sihat ikan keli. Penjagaannya tidaklah terlalu sukar, cuma kena pastikan kolam bersih dan air ditukar apabila perlu,“ katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah Kartini Ahmad, 52, berkata sejak projek itu dijalankan, lebih mudah baginya mendapatkan ikan keli segar tanpa perlu ke pekan.

“Dahulu kalau nak makan ikan keli, perlu tunggu van jual barang basah, itu pun kadang-kadang tidak ada (bekalan ikan keli). Sekarang 500 meter dari rumah dah boleh beli ikan yang segar dengan harga berpatutan,“ katanya.

Bagi pekerja kilang, Mohd Abdul Khalid Mohammad, 54, berharap projek ternakan ikan keli yang diusahakan oleh JPKKP kampung itu akan berterusan kerana limpahan manfaatnya turut dirasai komuniti setempat.

SejaTi MADANI ialah inisiatif Kerajaan MADANI yang bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi pada peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian dana hingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.

Program berkenaan merupakan pengisian kepada kerangka Ekonomi MADANI yang berfokuskan kepada kesejahteraan rakyat, dengan menaikkan lantai pendapatan dan memperkukuh ekonomi komuniti.