KOTA BHARU: Penutupan laluan tidak diwartakan di sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand sejak akhir tahun lepas bukan sahaja mengurangkan kemasukan dadah ke Kelantan, malah mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam mengekang jenayah rentas sempadan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata kerjasama erat antara dua negara itu menunjukkan kesan ketara apabila jumlah penyeludupan dadah ke negeri ini menurun sehingga 65 peratus sejak Disember tahun lepas.

Beliau berkata kawalan ketat di sempadan darat telah memaksa sindiket mengubah strategi dengan menyeludup dadah melalui jalan laut termasuk dalam satu kes terbaharu yang melibatkan rampasan bernilai lebih RM13 juta di Perlis.

“Thailand juga menyambut baik usaha ini kerana ia turut mengekang aliran dadah ke negara mereka. Dadah yang datang dari kawasan Segi Tiga Emas seperti Laos kebiasaannya melalui Thailand sebelum masuk ke negara kita.

“Usaha membanteras jenayah dadah ini bukan sekadar tugasan tetapi satu tanggungjawab moral yang besar. Ini jihad saya, walaupun pernah menerima ancaman, saya anggap ini amanah dan kami akan terus bertindak tegas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Program Town Hall Discussion Ketua Polis Kelantan Tahun 2025 bertajuk ‘Cakna Remaja: Elak Gejala Sosial, Bina Masa Depan’ di Universiti Malaysia Kelantan, di sini hari ini.

Mohd Yusoff turut menyeru agar tindakan penguatkuasaan diperkukuh di kawasan pantai dan perairan bagi membendung percubaan sindiket yang beralih kepada laluan laut sebagai alternatif penyeludupan.

Sementara itu, beliau berkata pil kuda juga mengalami penurunan harga sehingga RM5 sebiji berbanding sebelum ini dijual RM11 sebiji berikutan ia bekalan lama sebelum penutupan sempadan dilakukan, yang telah ‘masuk angin’ atau tamat tempoh.