SHAH ALAM: Penubuhan Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu hanya bermotifkan politik berbanding Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) yang lebih agresif memperjuangkan hak bumiputera, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.
Timbalan Menteri Kerja Raya itu berkata KEB yang digerakkan Kerajaan MADANI juga mempunyai fokus dan perancangan yang konsisten untuk memperjuangkan nasib bumiputera secara keseluruhan.
“Berkenaan hak orang Melayu, ia sudah lama diperjuangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang saban tahun fokus terhadap nasib bumiputera. Begitu juga usaha membangunkan bumiputera melalui KEB yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.
“Kita telah lama melaksanakan inisiatif sebegini sejak zaman-berzaman, tidak masuk akal mereka baru terfikir untuk buat perkara sama,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek menangani isu sekolah berkepadatan tinggi di pelbagai negeri di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penubuhan Sekretariat Orang Melayu yang diumumkan Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.
Justeru, Ahmad berkata jawatankuasa itu tidak perlu disokong memandangkan ia khusus untuk orang Melayu sedangkan KEB mempunyai peranan yang lebih efektif untuk memajukan golongan bumiputera secara keseluruhan.