ISTANBUL: Sekurang-kurangnya seorang penumpang terselamat selepas pesawat Air India yang dalam penerbangan ke London dan membawa 242 orang terhempas di barat India pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik India Today.

Pesawat penerbangan AI171 itu dilaporkan merempuh sebuah asrama kolej perubatan sejurus berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di Ahmedabad, Gujarat. Pesawat berkenaan dalam penerbangan ke Lapangan Terbang Gatwick di London.

Mangsa terselamat yang dikenal pasti sebagai Viswashkumar Ramesh, ditemukan duduk di kerusi 11A, menurut polis tempatan.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Ahmedabad G.S. Malik dipetik oleh beberapa media sebagai mengesahkan bahawa 204 mayat telah ditemukan di lokasi nahas.

Antara yang terkorban ialah bekas Ketua Menteri Gujarat, Vijay Rupani.

Pihak berkuasa turut mengesahkan sekurang-kurangnya lima pelajar maut dan beberapa orang lagi cedera apabila pesawat itu merempuh bangunan asrama berkenaan. Sekitar 50 orang cedera di kawasan berhampiran lokasi nahas.

Saksi memaklumkan bahawa beberapa individu berada di dalam asrama ketika kejadian, namun kebanyakan petugas tiada di tempat kejadian kerana keluar makan tengah hari.

Wanita dan kanak-kanak yang cedera di kawasan darat telah dihantar ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan.

Kumpulan Tata, syarikat induk Air India, mengumumkan akan menyalurkan bantuan kewangan sebanyak satu crore rupee India (sekitar US$116,863) kepada keluarga setiap mangsa yang terkorban.

Kumpulan itu juga akan menanggung kos rawatan mangsa yang cedera serta membantu kerja-kerja pemulihan bangunan asrama yang rosak.

Menurut Air India, mereka yang berada dalam pesawat termasuk 169 warganegara India, 53 warga Britain, tujuh warganegara Portugal, seorang warga Kanada, serta dua juruterbang dan 10 kru kabin.