KUALA SELANGOR: Kerajaan Selangor ketika ini sedang merangka pelan induk air bagi menangani isu berkaitan bekalan air jangka panjang, pencemaran serta penyelesaian masalah banjir di kawasan tertentu di negeri ini secara holistik.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pelan induk yang bakal dijadikan garis panduan dalam mengurus sumber air merangkumi aspek penyimpanan, lokasi kolam tadahan serta sistem kawalan banjir jangka panjang itu, dijangka disiapkan dalam tempoh setahun lagi.
“Kalau air kurang kita hadapi masalah bekalan, namun jika lebih pula, berlaku banjir dan pelan induk ini akan ambil kira kedua-dua aspek secara menyeluruh.
“Setakat ini, lebih 100 kolam telah dikenal pasti di seluruh negeri dan kebanyakannya dalam proses untuk digazetkan sebagai kawasan simpanan strategik,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej A dan C, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin berkata pelaksanaan SJAM merupakan satu saripada langkah proaktif kerajaan negeri, bagi memastikan bekalan air mentah mencukupi untuk tempoh sekurang-kurangnya 50 tahun akan datang.
Beliau berkata SJAM dijangka menjadi antara inisiatif terbesar dalam sejarah pengurusan air Selangor, ke arah menjamin bekalan air lebih stabil, dan langkah kehadapan itu diperlukan dalam menghadapi kesan perubahan iklim dan pembangunan pesat.
Amirudin berkata penyerahan dua pakej itu melengkapkan dua pakej lain yang telah beroperasi sebelum ini, seterusnya menjamin bekalan air berterusan kepada empat juta penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Beliau berkata secara keseluruhan, sebanyak RM320 juta dibelanjakan bagi pembinaan SJAM dengan matlamat memastikan bekalan air kepada 1.2 juta akaun pengguna air di Selangor terjamin, meskipun ketika berlaku pencemaran.
“Saya tidak berani kata 100 peratus, tetapi lebih 90 peratus akan dapat dipastikan terima bekalan air berterusan di sebalik kemungkinan berlaku beberapa cabaran lain yang tidak dapat dielakkan,” katanya.