SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan kolej komuniti bagi mewujudkan pangkalan data lepasan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata inisiatif ini dilaksanakan menerusi Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) untuk memudahkan industri dan majikan mengakses maklumat tenaga kerja berkemahiran di negeri ini.
“Selangor mempunyai Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISAS) yang diperkenalkan pada 2019 bagi meningkatkan keupayaan pelajar dalam bidang seperti aeroangkasa. Kerajaan Persekutuan pula mempunyai politeknik yang menawarkan kursus kejuruteraan penerbangan. Justeru, perlu ada kerjasama menyeluruh,“ katanya di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Cadangan ini akan dimasukkan dalam Belanjawan Negeri akan datang sebagai sebahagian perancangan kerajaan negeri. Amirudin turut menekankan cabaran mengubah persepsi masyarakat terhadap TVET.
“Masih ada anggapan bahawa hanya universiti mampu menawarkan peluang pekerjaan. Justeru, bidang TVET tidak diisi sepenuhnya kerana dianggap pilihan kedua. Pemikiran ini perlu diubah,“ jelasnya. - Bernama