MUAR: Kerajaan Johor akan memberikan tiket percuma kepada atlet yang bertanding pada Sukan Bangsa Johor (SBJ) 2025 bagi menyaksikan perlawanan merebut Piala Sumbangsih 2025-2026 antara pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pemberian tiket berkenaan adalah sebagai penghargaan kepada individu yang telah menjayakan dan menyemarakkan lagi temasya SBJ tahun ini, selain sebagai usaha terus membudayakan serta melahirkan rasa kecintaan Bangsa Johor terhadap aktiviti sukan.
Beliau berkata bagi mendapatkan tiket perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 8 Ogos depan itu, para atlet boleh merujuk kepada wakil rakyat masing-masing.
“Saya berharap para atlet SBJ tahun ini dapat melapangkan masa pada 8 Ogos nanti untuk bersama-sama memenuhkan SSI dan memberi sokongan pada perlawanan Piala Sumbangsih antara JDT dan Selangor.
“Insya-Allah...tiket percuma akan diberikan kepada atlet (SBJ) yang hadir hari ini, dan mereka boleh merujuk kepada ADUN kawasan masing-masing,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian SBJ di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Muar, di sini, malam tadi.
Hadir sama pada perasmian SBJ yang berlangsung selama dua hari bermula semalam (12 Julai) ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah.
Onn Hafiz berkata penganjuran SBJ yang bermula sejak tahun lalu dan diadakan secara tahunan adalah ilham Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, bagi memberi peluang kepada anak muda Bangsa Johor mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah serta memupuk semangat perpaduan.
“Pemangku Sultan Johor mahu anak muda negeri ini bergerak ke hadapan, mengisi masa dengan pelbagai aktiviti bermanfaat serta mendapat peluang pendidikan dan pekerjaan terbaik,” katanya sambil memaklumkan kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM1.7 juta bagi menjayakan temasya itu.
Sementara itu, Mohd Hairi dalam ucapannya berkata, SBJ berperanan sebagai platform mencungkil bakat terpendam dalam kalangan anak muda untuk diketengahkan agar mampu menjadi kuasa besar dalam arena sukan.
“Melalui SBJ ini, kita bukan sahaja mencari atlet, tetapi juga individu yang terlibat dalam sukan dari pelbagai aspek termasuk jurulatih dan pengadil, sekali gus menjadikan sukan sebagai sumber ekonomi,” katanya.
SBJ yang berlangsung di TMIYC Muar itu melibatkan kesemua 56 DUN di Johor dengan pertandingan beberapa acara sukan seperti futsal, bola jaring, sepak takraw, bola keranjang serta pelbagai aktiviti sampingan lain - BERNAMA