• 2025-07-13 10:20 AM

IPOH: Tentera Darat Malaysia (TDM) akan mengadakan Eksesais KERIS STRIKE 2025 bersama Tentera Darat Amerika Syarikat (US Army) dan Tentera Darat Australia (Australian Army) selama 14 hari bermula Khamis depan di beberapa lokasi terpilih di Perak.

Menurut kenyataan Sel Perhubungan Awam Markas TDM, latihan ini akan berlangsung di Ipoh, Sungai Siput, Kuala Kangsar, dan Lenggong sehingga 30 Julai ini. Eksesais tahunan ini bertujuan meningkatkan keupayaan operasi bersama serta memperkukuh hubungan ketenteraan dengan negara-negara rakan strategik.

“Ia juga bertujuan meningkatkan tahap kesiagaan TDM dalam menghadapi sebarang ancaman keselamatan serantau,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai, terutamanya penduduk di sekitar Ipoh dan Kuala Kangsar, dinasihatkan agar tidak panik sekiranya melihat kehadiran anggota tentera asing, pergerakan konvoi kenderaan, dan aset ketenteraan sepanjang tempoh latihan ini - Bernama