KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur menyita 50,000 kilogram gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM400,000 yang disyaki dikumpul menerusi penyelewengan, dalam serbuan di sebuah premis pemborong di Sentul di sini, awal pagi tadi.

Pengarahnya Mohd Sabri Seman berkata serbuan dilakukan hasil intipan selama sebulan, dan kegiatan itu dipercayai telah dilakukan sejak dua tahun lepas menerusi proses ‘decanting’ iaitu memindahkan LPG bersubsidi dari tong berkapasiti 12 kilogram (kg) dan 14kg, ke tong industri berkapasiti 50 kg.

Beliau berkata tong gas berkenaan kemudian dijual kepada premis-premis perniagaan di sini dengan harga lebih murah berbanding pasaran iaitu antara RM180 hingga RM240 setong.

“Pemborong berlesen yang sudah berada dalam industri selama 30 tahun ini mengaut keuntungan berlipat ganda kerana kos mereka untuk menghasilkan satu tong LPG 50 kg menggunakan LPG bersubsidi ialah kira-kira RM100 bagi satu tong.

“KPDN sangat tegas dalam hal ini agar tiada pihak menyeleweng LPG bersubsidi kerana ia sepatutnya dinikmati rakyat, tetapi telah disalah guna,” katanya kepada media di premis terbabit, di sini, hari ini.

Beliau berkata KPDN masih menyiasat keuntungan yang diperolehi pemborong terbabit sepanjang premis itu melakukan kesalahan berbentuk penyelewengan sejak dua tahun lepas.

Mohd Sabri berkata dalam serbuan awal pagi tadi pihaknya turut menahan dua lelaki warga tempatan berumur awal 30-an dipercayai pemilik dan pengurus premis pemborong itu semasa dia sedang menjalankan proses decanting.

“Proses decanting ini biasanya dilakukan pada waktu pagi kerana ia memerlukan cuaca sejuk dan ia turut menggunakan ais,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut menyita kamera litar tertutup (CCTV), telefon bimbit dan dokumen-dokumen berkaitan dalam serbuan itu, dan kes sedang disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

“KPDN juga dalam proses menggantung Lesen Barang Kawalan pemborong ini memandangkan kesalahan yang dilakukan ini adalah kesalahan yang serius,” katanya.