• 2025-06-10 02:15 PM

KUALA LUMPUR: Semakan semula dan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dijangka memberi impak minimum terhadap segmen pembinaan dan pengguna, menurut Kenanga Investment Bank Bhd.

Bagaimanapun, langkah ini dijangka memberi kesan terhadap sektor Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) serta perkhidmatan kewangan dan penjagaan kesihatan swasta, katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Katanya sektor pembinaan dan pengguna dijangka kurang terjejas berikutan perubahan terhadap SST dibuat dengan mengambil kira kebajikan majoriti rakyat Malaysia terutamanya dalam segmen pengguna.

Ia turut menyambut baik bahawa kerangka SST yang disemak semula masih mengambil kira potensi impak lain dalam rantaian bekalan perniagaan.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd percaya bahawa peluasan SST tidak memberi impak yang besar kepada pasaran berikutan ia bersifat bersasar dan distrukturkan untuk mengelak barangan dan perkhidmatan asas.

“Walaupun sektor seperti pembinaan, perbankan dan penjagaan kesihatan mungkin dilihat mudah terjejas, kami menjangka sebarang impak ke atas keuntungan adalah amat kecil,” katanya dalam nota berasingan.

Katanya dari segi perkhidmatan pembinaan, kebanyakan struktur kontrak membenarkan mekanisme pemindahan kos dan tender projek baharu dijangka akan dinilai semula, memindahkan kos tambahan kepada pelanggan akhir.

Bagi perkhidmatan kewangan, ia tidak menjangkakan sebarang impak ketara terhadap bank berikutan ia berperanan sebagai ejen kutipan cukai bagi pihak kerajaan.