KUCHING: Semua perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) boleh diselesaikan selagi kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah dapat berbincang dalam semangat Malaysia MADANI dan menghormati antara satu sama lain.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata walaupun sudah 11 perkara di bawah MA63 diselesaikan, masih ada perkara lain yang memerlukan perbincangan berasingan antara beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

“Antara perkara yang belum selesai ialah hak mengenai kuasa mengutip duti stem atau cukai yang perlu dibayar ketika membuat perjanjian jual beli rumah yang boleh mencapai ratusan juta ringgit setahun di Sarawak,” katanya dalam ucapan pada Majlis Perhimpunan Hari Malaysia peringkat Sarawak di Sri Aman, kira-kira 192 kilometer dari sini hari ini.

Dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, beliau menyatakan penghargaan kepada Anwar yang telah menaikkan pemberian khas secara interim untuk Sarawak dan Sabah daripada RM300 juta kepada RM600 juta setahun.

Menurutnya pemberian khas ini adalah seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Abang Johari berkata hubungan kerja antara kerajaan Sarawak dan kerajaan Persekutuan haruslah berdasarkan dan menghormati apa yang tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan dan MA63.

Beliau berkata permintaan Sarawak berdasarkan MA63 adalah usaha untuk memperbetulkan dan menunaikan hak serta keistimewaan di negeru ini yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian MA63.

Beliau berkata Sarawak memiliki sistem politik dan pentadbirannya sendiri dengan persempadanan dan kependudukan yang jelas, jadi negeri itu tidak boleh diperkecilkan atau direndahkan statusnya kepada status bukan rakan kongsi dalam penubuhan Malaysia.

“Dalam memperingati Hari Malaysia yang bersejarah ini, kita harus ingat bahawa Sarawak tidak ‘menumpang kasih’ kerana Sarawak bersama wilayah lain telah menubuhkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat dengan perlembagaan sendiri,” tambahnya.