• 2022-10-22 09:29 PM

KOTA KINABALU: Semua pihak terutama Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan dan pengguna akhir perlu berada di landasan sama dalam usaha menyelesaikan isu aset pertahanan usang yang dihadapi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata semua pihak yang terlibat itu perlu tahu apa yang sepatutnya diberi keutamaan terlebih dahulu dalam soal pertahanan negara di samping menjaga kebajikan anggota tentera.

“Kita tidak boleh cakap mengenai aset (pertahanan) hari ini tetapi dalam masa sama nak cari berbilion ringgit untuk bina rumah anggota kita, kemudian hendak bina hospital untuk anggota tentera kita, sekolah untuk anak anggota kita juga perlu dibincangkan.

“Isu penyelenggaraan, ada aset banyak pun tiada duit untuk penyelenggaraan isu juga. Jadi, apa pendekatan yang kita nak lakukan (selesaikan isu) mesti secara menyeluruh dan segalanya berkisar tentang kestabilan negara, kalau negara stabil senang kita buat perancangan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada lawatannya ke Kem Lok Kawi di sini yang turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Shahelmey Yahya.

Semalam, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata aset TLDM sudah berusia serta kurang daya tempur, dan tanpa peruntukan mencukupi ia menjejaskan keupayaan untuk mengekalkan tahap kesiagaan keselamatan yang tinggi dan bertindak terhadap sebarang ancaman.

Hishammuddin berkata bagi mengatasi isu aset usang TLDM, kerajaan juga pada masa ini sedang berusaha mendapatkan kumpulan kedua kapal misi pesisir (LMS) lengkap dengan persenjataan yang sesuai.

“Selain sokongan daripada kerajaan Perancis, pihak lain yang terlibat juga telah tunjukkan komitmen dalam usaha untuk kita selesaikan isu kapal LCS (kapal tempur pesisir). Jadi perancangan kita untuk selesaikan isu LCS ini berjalan, tetapi hendak tunggu LCS siap ambil masa jadi saya usahakan kumpulan kedua LMS,” katanya.

LMS keempat dan terakhir kumpulan pertama iaitu KD Rencong selamat ditauliahkan pada 28 Jan lepas dan ditempatkan dalam Skuadron LMS ke-11 TLDM bersama tiga lagi iaitu KD Keris, KD Sundang dan KD Badik berpangkalan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

Sementara itu, katanya secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan tahap kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sabah kerana ia penting bagi memastikan segala perancangan serta inisiatif keselamatan di negeri ini khususnya di bawah naungan ATM dilaksanakan dengan optimum.

“Bagaimanapun, seperti saya tegaskan berulang kali usaha memperkukuh pertahanan di Sabah ini berterusan dan akan terus ditingkatkan dari semasa ke semasa. Sebab itul, sejak menerajui semula Kementerian Pertahanan pelbagai usaha telah dan akan dilaksanakan,” katanya.

Menurutnya antara usaha itu ialah pembinaan kem baharu di Felda Lahad Datu, pembinaan Kem 5 Briged dan Kem 19 Rejimen Askar Melayu Diraja di Kota Belud, mengaturgerak enam helikopter MD530G bagi mengukuhkan keselamatan Sabah, menubuhkan Stesen Udara Kota Kinabalu, penempatan empat LMS, dan pembinaan jeti Markas Wilayah Laut 2 di Sandakan. - Bernama