KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) sedang menaik taraf portal rasminya, seniman.com.my bagi menjadikannya sebuah pusat sehenti untuk industri seni tempatan.

Presidennya Rozaidi Abdul Jamil atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi berkata apabila siap sepenuhnya kelak, portal itu bukan sahaja akan berkongsi berita terkini tetapi turut berperanan sebagai pangkalan data bakat industri kreatif tanah air.

“Portal ini sebenarnya sudah beroperasi, tetapi kami sedang lakukan penambahbaikan supaya lebih mesra pengguna dan memberi manfaat secara menyeluruh kepada industri seni.

“Individu atau syarikat yang ingin mencari penyanyi, pelakon, pempengaruh dan pelbagai bakat lain, tidak lagi perlu bergantung pada media sosial atau pencarian rawak. Mereka hanya perlu mengakses portal ini yang berfungsi sebagai pusat rujukan lengkap,“ katanya kepada Bernama.

Rozaidi berkata selain memudahkan pencarian bakat buat orang ramai, pangkalan data itu boleh menjadi sumber pendapatan baharu buat Seniman.

Selain itu, beliau berkata portal itu turut akan menyediakan ruangan Kelab Penulis bagi pesara wartawan, penulis baharu atau pengkarya industri kreatif menerbitkan karya mereka.

“Kelab Penulis ini diwujudkan bagi memberi peluang kepada mereka yang berminat dalam bidang penulisan, termasuk wartawan bersara dan penulis baharu, untuk terus berkarya. Mereka boleh menghasilkan pelbagai jenis penulisan seperti artikel, skrip drama, lirik lagu dan sebagainya.

“Kumpulan ini juga boleh menjana pendapatan kerana hasil penulisan mereka boleh dijual melalui portal ini,“ katanya, menambah portal berkenaan bakal menggunakan kecerdasan buatan bagi membantu syarikat memilih bakat yang sesuai sebagai duta produk berdasarkan kriteria tertentu.

Rozaidi berkata pelancaran rasmi portal itu dijangka berlangsung pada Ogos depan bersempena dengan ulang tahun ke-50 persatuan tersebut.

“Buat masa ini, portal sudah boleh digunakan, tetapi pelancaran rasmi memerlukan dana yang masih dalam usaha kami kumpulkan. Kami bercadang melancarkan portal ini secara rasmi bersempena sambutan Jubli Emas 50 Tahun Seniman,“ katanya.