SHAH ALAM: Seorang lelaki dikhuatiri hilang manakala dua lagi terselamat selepas bot fiber dinaiki mereka dirempuh sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) jenis pukat tunda di sekitar perairan Pulau Klang semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata ketiga-tiga mangsa ketika itu sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan di kedudukan kira-kira 0.3 batu nautika di utara pulau terbabit sebelum kejadian itu berlaku lebih kurang 11 malam.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan kecemasan daripada seorang nelayan yang menyaksikan kejadian itu dan mendakwa vesel terbabit melarikan diri sejurus perlanggaran berlaku.

“Dua mangsa diselamatkan oleh bot fiber yang kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian manakala seorang lagi nelayan masih belum ditemukan ... mangsa dipercayai hilang di laut dan kali terakhir dilihat memakai baju berwarna biru-merah serta seluar berwarna biru.

“Pusat Operasi (PUSOP) Maritim Negeri Selangor segera mengatur gerak bot ronda ke lokasi kejadian bagi melaksanakan pencarian awal terhadap mangsa yang hilang, iaitu Zamri Mohd Harun berusia 56 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Muhaimin berkata kedua-dua mangsa yang terselamat, masing-masing lelaki berusia 56 dan 52 tahun dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 12.35 tengah malam tadi untuk mendapatkan rawatan susulan.

Beliau berkata Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) dikoordinasikan oleh Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru telah diaktifkan dan pencarian kini diteruskan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Pasukan Polis Marin (PPM).

“Usaha pencarian hari ini melibatkan kekuatan sebanyak 20 anggota dan tiga aset laut yang merangkumi kawasan pencarian seluas 13 batu nautika persegi,” katanya.

Abdul Muhaimin dalam kenyataan sama turut mengingatkan kepada komuniti maritim dan orang awam agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti di laut, terutamanya pada waktu malam atau ketika cuaca tidak menentu.