SHAH ALAM: Seorang lelaki ditemukan mati di dalam sebuah kereta dipercayai akibat ditembak dalam kejadian berhadapan sebuah kedai motosikal di Meru, Klang dekat sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S Vijaya Rao berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 3.37 petang dan setibanya anggota di lokasi telah menemukan mayat warga tempatan berusia 46 tahun di tempat duduk pemandu.
“Mayat ditemukan dalam kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mengiring dengan berlumuran darah di tempat duduk pemandu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat.
Vijaya berkata kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian, diminta hadir ke balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat ASP M Sathiyaseelan di talian 012-5197913 untuk membantu siasatan.
Terdahulu, tular di laman sosial yang memaparkan gambar kenderaan pacuan empat roda terbabit dengan tingkap di bahagian pemandu berlubang dipercayai akibat kesan tembakan.