HATYAI: Sukan sepaktakraw bakal melakar sejarah tersendiri apabila disenaraikan sebagai acara pertandingan pada Sukan Pantai Para Dunia di Hatyai, Thailand, dari 18 hingga 25 Okt ini.
Setiausaha Agung Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) Datuk Abdul Halim Kader berkata penyertaan itu dimaklumkan melalui undangan rasmi yang diterima daripada Ketua Operasi temasya berkenaan, Elin Luce, pada 14 Julai lepas.
“Pada asalnya, temasya ini dijadual berlangsung di Mersin, Turkiye namun dipindahkan ke Hatyai atas sebab tertentu.
“Selain Thailand sebagai tuan rumah, ISTAF turut menyenaraikan Malaysia, Indonesia, Laos, Korea Selatan, Filipina dan Taiwan antara tujuh hingga lapan negara yang dijangka mengambil bahagian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Abdul Halim yang juga Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) yakin dapat menjalinkan kerjasama erat dengan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang diketuai Datuk Seri Megat D.Shahriman Zaharudin, khususnya membabitkan penyertaan pasukan sepaktakraw adaptif negara.
Sepaktakraw adaptif akan dipertandingkan dalam tiga kategori iaitu:
TKR1: Atlet kudung kaki sebelah atas lutut dan menggunakan kaki prostetik atau alat imbangan.
TKR2: Atlet kudung kaki sebelah bawah lutut, memakai kaki prostetik, menghidap atrofi otot, polio atau memiliki panjang kaki tidak seimbang.
TKR3: Atlet kudung sebelah lengan bawah siku, mengalami anomali sejak lahir, kekejangan otot, atrofi atau polio.
Tiga acara turut dipertandingkan iaitu Lengan (semua pemain cacat sebelah lengan), Campuran 1 (seorang pemain cacat sebelah kaki bersama dua pemain sebelah tangan), serta Kuadran Campuran (dua pemain cacat kaki dan dua pemain cacat lengan) -BERNAMA