GAZA: Sekurang-kurangnya 30 rakyat Palestin terbunuh dalam beberapa siri serangan udara Israel yang menyasarkan Kem Pelarian al-Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza pada Selasa, menurut laporan Xinhua.
Hospital Al-Awda di kem pelarian itu melaporkan bahawa kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak, yang maut dalam pengeboman di kawasan “New Camp” di utara Nuseirat. “Kebanyakan mangsa hancur anggota badan akibat kekuatan letupan,“ menurut kenyataan hospital tersebut.
Serangan itu berlaku sejak awal pagi dan menyasarkan beberapa rumah orang awam. Hospital itu kini mencapai kapasiti maksimum, dengan pasukan perubatan beroperasi di bawah tekanan luar biasa. Kekurangan ubat dan bekalan perubatan menyukarkan rawatan bagi pesakit yang mengalami kecederaan kritikal.
Penduduk tempatan berkata lapan ahli sebuah keluarga terbunuh apabila rumah mereka dibom. “Ia adalah pemandangan yang amat tragik dan mengejutkan,“ kata Mohammed al-Hour, seorang penduduk. Beliau menambah bahawa kawasan itu “dibom berterusan lebih sejam,“ menyukarkan usaha penyelamatan.
Akibat kemusnahan dan kekurangan perkhidmatan kecemasan, penduduk terpaksa menggunakan kereta kuda untuk mengangkut mayat dan mangsa yang cedera. “Ambulans tiba sangat lewat. Kami terpaksa angkut mangsa menggunakan apa sahaja cara yang ada,“ kata al-Hour.
Sementara itu, tentera Israel juga melancarkan serangan darat berhampiran al-Mughraqa dan Jambatan Wadi, di timur laut Nuseirat. Penduduk melaporkan penggunaan kereta kebal dan artileri berat yang menyasarkan tanah pertanian dan kawasan kediaman.
“Kami tiba-tiba nampak kereta kebal mara sambil pesawat perang mengebom rumah berdekatan. Kami terpaksa melarikan diri,“ kata Ahmed Saidam, seorang penduduk yang dipindahkan.
Pasukan pertahanan awam masih berusaha mencapai lokasi serangan untuk mencari mangsa terselamat dan mengeluarkan mayat, tetapi usaha itu terhalang oleh serangan berterusan dan kekurangan peralatan.
Tiada kenyataan rasmi segera dikeluarkan oleh tentera Israel mengenai serangan tersebut. Keadaan kemanusiaan di Gaza terus merosot, dengan penduduk menghadapi kekurangan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan sejak operasi besar-besaran Israel bermula pada Oktober 2023. - Bernama-Xinhua