Your Title

KUALA LUMPUR: Perusahaan Sosial Malaysia diberi pengiktirafan berganda (double-badge) oleh Social Enterprise World Forum (SEWF) pada Mac lepas, sekali gus membuka peluang Perusahaan Sosial Diakreditasi dikenali di peringkat antarabangsa.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) Datuk Ewon Benedick berkata perusahaan sosial yang diberi penarafan Perusahaan Sosial Diakreditasi daripada Kuskop secara automatik akan diiktiraf oleh SEWF tanpa melalui proses penilaian di peringkat antarabangsa.

“Kuskop juga telah memperkenalkan satu tahap penarafan baharu iaitu Tunas Perusahaan Sosial atau Aspiring SE untuk lebih banyak usahawan baharu menceburkan diri dalam perusahaan sosial dapat diberi penarafan dan galakan menjadi perusahaan sosial yang sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena sambutan Hari Perusahaan Sosial hari ini anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) dengan kerjasama Chamber of Social Entrepreneur Development (CSED) dan SME Bank.

Ewon berkata pada sambutan 13 daripada 20 perusahaan sosial telah mendapat penarafan Perusahaan Sosial Diakreditasi daripada Kuskop.

Perusahaan Sosial Diakreditasi layak memohon pengecualian cukai pendapatan bagi tiga tahun taksiran berturut-turut,” katanya.

Bertemakan ‘Social Enterprise Malaysia Amplifying Impact (SEMAI)’, Hari Perusahaan Sosial bermatlamat memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai perusahaan sosial di samping memperkenalkan dan membantu perusahaan sosial memasarkan produk dan perkhidmatan mereka.

Ewon berkata pelbagai aktiviti menarik antaranya perkongsian pengalaman dan pengetahuan mengenai ekosistem keusahawanan sosial dan peranan korporat dalam meningkatkan impak sosial dalam kalangan masyarakat selain perkongsian kisah kejayaan perusahan sosial dalam bidang masing-masing untuk memberi inspirasi kepada orang ramai.

“Kuskop turut menganjurkan Kursus Asas Keusahawanan Sosial dan Klinik Penarafan Perusahaan Sosial kepada peserta yang berminat serta jualan Buy Social yang melibatkan 50 usahawan sosial di seluruh Malaysia,” katanya.

Beliau berkata pada sambutan itu juga logo penarafan perusahaan sosial bagi ketiga-tiga tahap penarafan iaitu Tunas Perusahaan Sosial, Perusahaan Sosial Asas dan Perusahaan Sosial Diakreditasi turut dilancarkan sebagai usaha mempromosikan penarafan perusahaan sosial serta perniagaan dan produk atau perkhidmatan yang diusahakan usahawan perusahaan sosial.