KUALA LUMPUR: Model dan usahawan fesyen Malaysia, Sharminidevi Parameispran yang lebih dikenali sebagai Sharwita, pulang daripada penampilan keduanya di Festival Filem Cannes dengan semangat baharu untuk menjadikan Malaysia sebagai hab global dalam bidang fesyen, filem dan pembangunan lestari.

“Sebagai anak Malaysia, saya ingin membina jambatan antara industri fesyen dan pelancongan kita dengan dunia kreatif antarabangsa. Kita memiliki bakat, budaya dan potensi untuk muncul sebagai ibu kota fesyen Asia Tenggara,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Sharwita menarik perhatian dunia terhadap keunikan ketukangan Malaysia menerusi kolaborasi dengan pereka dan jenama terkemuka The Atelier oleh Prof Datuk Jimmy Choo serta peruncit barangan kemas tempatan Thamarai Jewels, ketika hadir di tayangan perdana filem Jepun ‘Exit 8’ pada 18 Mei lalu, bersempena dengan Festival Filem Cannes ke-78 di Perancis.

Mengenakan gaun direka khas oleh Jimmy Choo yang disempurnakan dengan barangan kemas Koleksi Celestia Radiant daripada Thamarai Jewels, Sharwita tampil memukau di acara permaidani merah tayangan perdana filem itu.

Ketua Pegawai Kewangan dan Strategik Thamarai Jewels Amjad Ashraf Abdul Rakesh berkata festival filem itu menyediakan platform ideal bagi mengetengahkan seni ketukangan Malaysia kepada dunia.

Katanya barangan perhiasan yang dipakai oleh Sharwita selaku duta jenama syarikat pada festival itu tidak pernah dipamerkan kepada umum dan menarik minat media antarabangsa.

“Malah, outlet global juga bertanya tentang barangan kemas yang dipakai oleh beliau. Sharwita merupakan rakyat Malaysia pertama yang mengetengahkan jenama barangan kemas berinspirasikan India di pentas global,” katanya lagi.

Sepanjang berada di Perancis, Sharwita turut muncul di platform foto antarabangsa Getty Images, menjadi “showstopper” dalam acara fesyen permaidani merah pada 20 Mei dan menyertai majlis sosial eksklusif di atas kapal layar mewah di Monaco yang berlatarbelakangkan litar perlumbaan Grand Prix Formula 1.

Beliau juga sempat bertemu dengan pelakon dan model India Taha Shah Badusha, seorang daripada pelakon dalam siri drama sejarah berbahasa Hindi 2024 berjudul ‘Heeramandi’ yang disiarkan di Netflix.

“Taha Shah menyatakan hasratnya untuk melawat Malaysia dan mempromosikan negara kita. Sememangnya menjadi satu penghormatan besar apabila melihat daya tarikan negara kita diiktiraf,” kata Sharwita.

Pencapaian penting beliau di Cannes termasuk pelantikan sebagai duta jenama Wealth Global Partner di Malaysia, iaitu sebuah organisasi berfokus pada pembangunan lestari yang berpangkalan di United Kingdom.

“Saya akan memperjuangkan kelestarian dalam dunia fesyen melalui etika rekaan, penggunaan bahan mesra alam dan pengeluaran yang bertanggungjawab,” katanya.

Sharwita juga sedang mengusahakan penubuhan forum pelancongan fesyen di bawah jenamanya Le Fashion Secret, bertujuan memperkasa bakat tempatan termasuk pereka muda dan model baharu.

“Matlamat saya adalah untuk membina ekosistem yang menghubungkan bakat Malaysia dengan pereka global, media dan rumah fesyen antarabangsa,” jelasnya.

“Inisiatif ini sangat bertepatan memandangkan Malaysia merupakan Pengerusin ASEAN 2025 dan bakal melaksanakan Tahun Melawat Malaysia 2026. Cannes bukan sekadar glamor, tetapi turut mendedahkan saya kepada global dan juga tanggungjawab untuk membuka ruang kepada generasi baharu anak Malaysia dalam industri fesyen dan kreatif,” tambahnya.