MUAR: Polis akan menjalankan siasatan menyeluruh dari pelbagai sudut berikutan kehilangan seorang lelaki selepas kereta yang dipandunya terjunam ke dalam Sungai Tui di Jalan Bukit Kepong pada Isnin lepas.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, yang juga dikenali sebagai Ija, masih berterusan tanpa sebarang petunjuk baharu setakat 5 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Muar, ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata operasi pada hari kedua diperluaskan dengan penggunaan dron bomba dan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Johor.
Pencarian turut dilakukan secara berjalan kaki sejauh dua kilometer meliputi kawasan anak sungai, kampung, dan jeti berhampiran.
“Setakat ini, kami telah mengambil keterangan isteri dan adik mangsa. Tiada petunjuk baharu ditemui kecuali selipar dan topi,“ katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Raiz Mukhliz turut memaklumkan telefon bimbit Tengku Nizaruddin masih belum ditemui, dan semakan talian menunjukkan peranti tersebut telah ditutup sejak hari kehilangannya.
Beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi bagi memberi ruang kepada polis menyelesaikan siasatan yang kini lebih tertumpu kepada kes orang hilang.
Menurut laporan semalam, Tengku Nizaruddin, seorang pempengaruh permotoran, dilaporkan hilang selepas kereta Perodua Axia yang dipandunya terjunam ke dalam sungai tersebut, namun mangsa tidak ditemui di dalam kenderaan itu. – Bernama