KUALA LUMPUR: Polis masih menjalankan siasatan terhadap bekas Ketua Perbankan Pelaburan Goldman Sachs di Malaysia, Roger Ng, berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan meneliti beberapa dokumen yang berkaitan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata lelaki terbabit masih dalam kawalan pihak polis bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Siasatan masih berjalan, masih ada maklumat yang kita perlukan kerana terdapat banyak bukti dokumentasi yang perlu dikaji...bukan hanya satu atau dua dokumen sahaja,“ katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Coffee Table PDRM sempena Program Siri Jelajah Galakan Masyarakat Membaca di sebuah hotel di sini, hari ini.
Pada Oktober tahun lalu, Razarudin mengesahkan bahawa polis telah menahan Ng berhubung siasatan skandal 1MDB.
Menurutnya, tangkapan itu dibuat pada 9 Okt tahun lepas dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Semalam, peguam kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan pihaknya akan membuat permohonan kepada mahkamah pada Isnin depan bagi membolehkan pihaknya menemu bual Ng yang kini berada dalam tahanan polis.
Menurutnya temu bual tersebut bertujuan membantu proses pembelaan Najib dalam kes yang sedang berjalan.
Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata setakat ini pihak polis masih belum menerima sebarang laporan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung syor dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Laporan RCI setebal 217 muka surat yang dibentangkan di Dewan Rakyat mencadangkan bahawa siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir atas kesalahan di bawah Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 dan Seksyen 418 Kanun yang sama.
“Setakat ini kita tidak menerima sebarang laporan terhadapnya,” katanya.
Oleh itu, laporan tersebut mencadangkan agar satu laporan polis dibuat oleh Setiausaha Suruhanjaya bagi membolehkan siasatan dimulakan.