KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 sebagai peristiwa luar biasa dalam konteks Asia Tenggara.

Beliau berkata kehadiran pemimpin ASEAN dan wakil dari negara GCC yang paling dinamik ialah bukti kepada kepercayaan dan persahabatan yang semakin kukuh antara dua blok berkenaan.

Anwar memuji penganjuran sidang kemuncak itu sebagai pencapaian hebat dalam diplomasi serantau dengan negara-negara Teluk, bertujuan mengeratkan lagi hubungan politik, ekonomi dan strategik antara dua rantau.

“(Sidang kemuncak) ini, berdasarkan pengalaman kami di rantau ini, ialah sesuatu yang amat luar biasa, dapat menghimpunkan bukan sahaja pemimpin ASEAN, tetapi juga negara GCC paling dinamik ke rantau ini ... untuk bekerjasama, membina kepercayaan dan persahabatan sejati,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika merasmikan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.