KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan digesa memperkenalkan sijil khusus bagi jururawat dialisis bagi memperkukuh keupayaan petugas kesihatan dan meningkatkan kualiti rawatan pesakit buah pinggang di seluruh negara.
Cadangan ini dikemukakan oleh Pengerusi Yayasan Amal Maaedicare, Tunku Datuk Yaacob Khyra, yang percaya pensijilan berstruktur dapat menangani isu kekurangan jururawat dialisis serta mengawal kos penjagaan kesihatan.
Beliau mencadangkan program latihan selama dua bulan bagi melengkapkan jururawat dengan kemahiran khusus dalam rawatan dialisis. “Dengan sijil ini, jururawat dialisis berpotensi mendapat gaji lebih tinggi berbanding jururawat am sebagai pengiktirafan kepakaran mereka,” katanya semasa majlis makan malam amal Maaedicare.
Yaacob turut mencadangkan latihan lanjutan enam bulan bagi jururawat pesakit buah pinggang untuk tugasan klinikal lebih kompleks seperti prosedur bilik bedah. “Pendekatan ini memastikan kepakaran mereka digunakan secara optimum,” jelasnya.
Beliau juga menekankan isu migrasi jururawat dialisis ke luar negara, terutamanya Timur Tengah, selepas menerima latihan dibiayai majikan. “Struktur latihan berperingkat dapat mengurangkan kesan kehilangan tenaga kerja terhadap sistem kesihatan,” tambahnya.
Majlis amal tersebut diserikan kehadiran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani. Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Kutipan dana RM600,000 akan disalurkan kepada 11 pusat dialisis, naik taraf pusat diagnostik jantung, dan perluas saringan kesihatan percuma melalui klinik amal. Sejak 1994, yayasan ini telah membantu lebih 32,000 pesakit. - BERNAMA