• 2025-10-06 07:14 PM

HULU SELANGOR: Kebanyakan pelanggan sindiket pemalsuan cap imigresen yang baru ditumpaskan merupakan individu yang tinggal lebih masa di Malaysia.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata mereka mendapatkan cap palsu pada pasport untuk tujuan keluar masuk negara atau memperbaharui tempoh lawatan.

Siasatan mendapati sindiket itu beroperasi sejak awal tahun ini dengan menggunakan premis perniagaan sah di Shah Alam untuk mengaburi mata.

“Sindiket mengenakan caj RM500 bagi setiap cap palsu yang dibuat,“ katanya pada sidang media di sini hari ini.

Premis berkenaan milik seorang wanita tempatan yang juga ibu mentua pemain bola sepak disyaki membantu suaminya iaitu lelaki warga asing.

Kesemua lima suspek terdiri daripada empat lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan berusia 39 hingga 47 tahun masih ditahan reman.

Polis telah menghantar dokumen dan cap palsu yang dirampas kepada Jabatan Imigresen untuk proses pengesahan.

Siasatan sedang dijalankan untuk mengesan kemungkinan pembabitan pihak lain dalam sistem imigresen.

Kegiatan sindiket itu terbongkar hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Gombak.

Cap palsu itu digunakan untuk mengelak tindakan undang-undang terhadap pelanggaran tempoh sah berada di Malaysia.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan penipuan.

Polis melakukan tangkapan lima individu dalam dua serbuan berasingan di Gombak dan Shah Alam.

Beberapa dokumen dan peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan pemalsuan turut dirampas. – Bernama