• 2025-06-24 10:18 PM

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor mendedahkan sindiket penyelewengan diesel di negeri ini semakin aktif memanipulasi sistem kad fleet untuk aktiviti haram.

Pengarahnya, Mohd Zuhairi Mat Radey, berkata operasi risikan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang dijalankan bagi membongkar jaringan terbabit.

“Sindiket ini kreatif dan menyalahgunakan rasionalisasi subsidi melalui kad fleet. Siasatan awal menunjukkan mereka guna kad bukan milik mereka,“ katanya selepas menyaksikan pelupusan ekshibit KPDN Selangor hari ini.

Kerjasama dengan syarikat minyak tempatan turut diperkukuh bagi memantau kawalan dalaman dan membanteras kegiatan haram.

Sepanjang enam bulan pertama tahun ini, KPDN Selangor berjaya menyelesaikan 96 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, dengan jumlah rampasan RM2.9 juta dan kompaun RM32,000.

Mohd Zuhairi menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap stesen minyak yang bersubahat, termasuk pembatalan lesen dan penyenaraihitaman.

Pada 28 Mei lalu, KPDN Selangor menahan lima lelaki dan merampas 11 kad fleet dalam serbuan terkini.