• 2025-09-04 07:23 PM

KUALA LUMPUR: Sindiket penjualan kandungan pornografi bayi dan kanak-kanak yang baru ditumpaskan dipercayai mempunyai rangkaian antarabangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar menyatakan pihaknya menerima maklumat daripada pihak berkuasa negara luar mengenai aktiviti penjualan kandungan haram tersebut.

Beliau menjelaskan banyak rakaman video dan gambar penganiayaan seksual kanak-kanak telah dimuat naik dalam laman gelap tertentu yang mempunyai jaringan antarabangsa.

“Bagi siasatan terhadap sindiket ini polis mengalami kesukaran untuk mengesan pemilik dan individu yang mempunyai akses kepada dark web tersebut,“ katanya selepas pertemuan antara Kementerian Komunikasi, Polis Diraja Malaysia bersama platform media sosial Tiktok.

Kumar memaklumkan setakat ini tiada penahanan terbaharu dilakukan selepas 11 orang termasuk dalang ditahan di Johor Bahru menerusi Op Pedo dari 19 Julai hingga 19 Ogos lepas.

Polis berjaya membongkar aktiviti sindiket pedofilia menerusi operasi selama sebulan oleh Unit Siasatan Jenayah Siber Terhadap Kanak-Kanak Malaysia Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak PDRM bersama agensi antarabangsa. – Bernama