TUMPAT: Tindakan sindiket penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand yang boleh bertindak agresif sehingga sanggup mengancam keselamatan pihak berkuasa tidak boleh dipandang remeh.

Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman SAC Norzaid Muhammad Said berkata bagi menggelak sebarang kejadian tidak diingini memandangkan penyeludup boleh bertindak agresif termasuk menggunakan senjata api penggunaan jaket kalis peluru serta helmet keselamatan adalah langkah terbaik.

“Setiap anggota yang keluar menjalankan tugas rondaan dan operasi di sepanjang Sungai Golok diarahkan supaya memakai kelengkapan secukupnya bagi memastikan keselamatan terpelihara.

“Ini arahan pihak pentadbiran dan sekiranya gagal memakai jaket kalis peluru mereka tidak dibenarkan keluar menjalankan tugas dan boleh dikenakan tindakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ketika ini terdapat seramai 32 anggota Pasukan Polis Marin Wilayah 3 Pengkalan Kubor yang menjalankan tugasan rondaan bermula dari Kuala Takbai ke Kubang Pak Itam.

Sementara itu, Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 3 Pengkalan Kubor ASP Akil Abdul Rauf ketika ditemui berkata penugasan rondaan amat menitikberatkan soal keselamatan dan lebih berhati-hati berikutan tindakan agresif penyeludup boleh berlaku di luar kawalan.

“Setiap kali tugas rondaan pihak kami akan keluar seramai lapan anggota menggunakan dua buah bot yang cukup dengan kelengkapan seperti jaket kalis peluru dan helmet keselamatan.

“Kita menjalankan tugasan rondaan dengan berhati-hati dan akan pastikan tahap keselamatan setiap anggota walaupun pada masa yang sama menjalankan tugas membanteras penyeludupan,” katanya.

Beliau berkata PPM Pengkalan Kubor turut meminta orang awam menyalurkan maklumat kepada polis jika mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah di sempadan.

Pada 19 Jun lepas, sepasukan anggota penguatkuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang sedang melaksanakan operasi di Sungai Golok ditembak seorang ahli kumpulan penyeludup bahan api.

Sebanyak tiga das tembakan dilepaskan penyeludup dalam cubaan mereka untuk meloloskan diri daripada ditahan berdekatan Pangkalan Haram Pok Mat, Kampung Simpangan, Tumpat.