SINGAPURA: Singapura bersedia untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia dalam menyokong Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun depan.

Kementerian Luar (MFA) Singapura berkata perkara itu disampaikan oleh Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan kepada rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan yang berada di republik berkenaan untuk lawatan rasmi dua hari sejak Isnin.

“Mereka turut membincangkan cara untuk mengukuhkan Kepusatan Asean dan memastikan bahawa Asia Tenggara kekal sebagai titik terang di peringkat global,” menurut MFA dalam kenyataan pada Selasa.

Semasa perbincangan itu, kedua-dua menteri menekankan kepentingan untuk meneruskan kerjasama erat demi manfaat bersama bagi rakyat Singapura dan Malaysia.

Ini termasuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan ketersambungan melalui inisiatif seperti Rapid Transit System Link (RTS Link) Johor Bahru-Singapura dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), sambil menangani isu dua hala secara membina.

“Mereka bersetuju bahawa kedua-dua pihak harus terus membuat kemajuan dalam isu-isu ini menjelang Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 di Malaysia akhir tahun ini,” kata MFA.

Kementerian Luar Malaysia dalam satu hantaran di Facebook berkata kedua-dua menteri telah membincangkan pelbagai isu berkaitan hubungan dua hala Malaysia-Singapura termasuk potensi kerjasama dalam sektor-sektor baharu.

“Perbincangan turut meliputi isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” katanya.

Terdahulu pada hari yang sama, Mohamad turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Tharman Shanmugaratnam, Perdana Menteri Lawrence Wong dan Menteri Kanan Lee Hsien Loong.

Ketiga-tiga pemimpin Singapura itu mengesahkan kerjasama kukuh dan hubungan bersejarah antara rakyat Singapura dan Malaysia.

Kedua-dua pihak juga mengulangi komitmen kuat mereka untuk meneruskan pertukaran peringkat tinggi dan bekerjasama secara dua hala dan juga dalam ASEAN di tengah-tengah persekitaran geopolitik yang lebih tidak menentu.

Sementara itu, Wong yang juga Menteri Kewangan turut merakamkan penghargaan beliau kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim atas jemputan untuk beliau membuat lawatan pengenalan awal ke Malaysia.

Perdana Menteri menerusi Facebook, berkata beliau gembira menerima jemputan Anwar untuk membuat lawatan ke Malaysia tidak lama lagi, sebelum Pemukiman Pemimpin tahunan akhir tahun ini.

“Saya gembira menerima jemputan beliau dan akan menjadualkan lawatan awal ke KL (Kuala Lumpur), sebagai sebahagian daripada siri lawatan pengenalan ke ibu kota ASEAN,“ katanya.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Mohamad ke republik itu sebagai Menteri Luar. Beliau berlepas dari Singapura pada Selasa.