PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan terhadap seorang individu bergelar taikun syarikat Singapura susulan artikel yang tular dalam media sosial.
Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi hari ini dan mengesahkan SPRM akan memanggil saksi berkaitan untuk dirakam percakapan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
Menurut sumber SPRM, siasatan itu dibuat berdasarkan laporan berhubung dakwaan bahawa taikun terbabit dipercayai menjadi pembiaya kepada skandal rasuah melibatkan Datuk Albert Tei serta beberapa pemimpin UMNO Sabah.
Pada 30 Jun lepas, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dan seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah berhubung skandal rasuah berkaitan lesen perlombongan mineral di negeri itu.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009, iaitu memberikan wang rasuah dan Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 kerana menerima wang rasuah.