• 2025-09-28 03:38 PM

KUALA LUMPUR: Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur (SMTKL) mencatat sejarah sebagai sekolah menengah pertama di Malaysia yang menubuhkan Makmal Kecerdasan Buatan (AI).

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyatakan makmal itu akan menjadi model rujukan bagi pendekatan pembelajaran berasaskan inovasi.

Beliau berkata makmal AI ini akan menjadi pemangkin kepada masa depan baharu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini.

“Langkah ini bukan sahaja akan menjadi model rujukan kepada sekolah menengah teknik dan kolej vokasional, malah membuka ruang untuk diterapkan di sekolah menengah kebangsaan,” katanya.

Dr Wan Azizah menekankan bahawa dengan ilmu, teknologi dan akhlak, pelajar Malaysia mampu menghadapi cabaran masa depan.

Beliau berkata penubuhan Makmal AI itu turut menarik penglibatan sekolah menengah sekitar sebagai ‘feeder schools’.

Kerjasama ini memastikan bakat pelajar dalam bidang teknikal dapat diasah sejak peringkat awal.

SMTKL juga mengumumkan kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi memperkenalkan pendekatan ‘KOSEN oriented’.

Pendekatan tersebut menekankan pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar, kolaborasi industri dan pemupukan daya cipta.

Ini merupakan kali pertama pendekatan ‘KOSEN oriented’ diterapkan di peringkat sekolah menengah teknik di Malaysia.

SMTKL yang merupakan sekolah teknik menengah tertua di Malaysia turut menerima Anugerah Emas bagi Kategori Pendidikan Digital Terbaik.

Anugerah tersebut diterima pada Majlis Digital Utilisation & Technology Awards (DUTA) 2024 yang berlangsung Julai lepas.

Perkembangan ini bersempena sambutan 100 tahun penubuhan SMTKL yang disambut hari ini. – Bernama