• 2025-06-23 09:46 PM

KUALA LUMPUR: Tinjauan oleh Merdeka Center mendapati majoriti pengundi Malaysia memberikan penarafan positif sebanyak 55 peratus kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun ini berbanding 43 peratus pada Jun 2024.

Organisasi bebas itu, yang memfokus kepada penyelidikan pendapat umum dan analisis sosioekonomi, memaklumkan tinjauan ke atas 1,208 pengundi berdaftar menunjukkan rakyat Malaysia mula merasakan bahawa negara kini semakin stabil dengan ketidakstabilan politik kian mereda dan Anwar memimpin kerajaan dengan majoriti dua pertiga di Parlimen.

“Reformasi institusi seperti Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 yang dihidupkan semula juga memberi isyarat kembalinya tadbir urus yang berprinsip,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Merdeka Center, kekecewaan rakyat terhadap kos sara hidup juga semakin berkurangan susulan peningkatan gaji minimum oleh kerajaan kepada RM1,700 beserta bantuan tunai semasa perayaan kepada penjawat awam serta subsidi minyak yang berterusan ketika inflasi berada di tahap terendah dalam tempoh tiga tahun iaitu 1.4 peratus pada Mac 2025 dan pertumbuhan ekonomi mencecah 4.4 peratus pada suku pertama.

“Walaupun tinjauan masih menunjukkan bahawa kebimbangan utama rakyat ialah ekonomi, ketiadaan kejutan pada harga diesel meskipun berlaku penarikan subsidi minyak pada 2024 telah membantu mengurangkan sentimen ini,” katanya.

Merdeka Center memaklumkan Anwar juga telah meningkatkan profil global Malaysia dengan menjadi tuan rumah kepada Presiden China Xi Jinping dan mempengerusikan ASEAN pada 2025.

“Perjanjian pelaburan baharu, kerjasama perdagangan dan kepimpinan dalam inisiatif Selatan Global telah memperkukuh imej beliau di dalam negara,” katanya.

Pada masa sama, pusat itu menyatakan bahawa penarafan Kerajaan Persekutuan turut meningkat kepada 50 peratus pada Mei 2025 berbanding 40 peratus pada Jun 2024.

Ia memaklumkan tahap ketidakpuasan terhadap Kerajaan Persekutuan pula berkurangan kepada 48 peratus berbanding 58 peratus pada tahun sebelumnya.

“Jurang yang tipis antara positif dan negatif sebahagian besarnya adalah didorong oleh kebimbangan berterusan mengenai tekanan terhadap kos sara hidup dan terdapat sedikit kegusaran tentang pemotongan subsidi yang dijadual dilaksana dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.

Menurut Merdeka Center, jumlah pengundi yang ditinjau yang berpandangan bahawa negara menuju ke arah yang salah merosot kepada 50 peratus berbanding 61 peratus pada tahun sebelumnya manakala jumlah pengundi yang berpendapat negara berada di landasan betul meningkat kepada 43 peratus berbanding 29 peratus pada Jun 2024.

“Alasan utama yang mendorong pandangan negatif ini ialah hala tuju ekonomi negara dan prestasi semasa pentadbiran kerajaan,” katanya.

Tinjauan itu dilakukan antara 12 dan 23 Mei lepas untuk melihat persepsi pengundi terhadap pembangunan semasa ketika Kerajaan MADANI memasuki pertengahan penggal pentadbirannya.

Responden, yang terdiri daripada 52 peratus Melayu, 29 peratus Cina, tujuh peratus India, enam peratus Bumiputera Islam serta enam peratus Bumiputera Bukan Islam dari Sabah dan Sarawak, mencerminkan profil pengundi di negara ini, telah ditemu bual melalui telefon talian tetap serta mudah alih.